Jumaat, 15 Ogos 2014

PERISIAN - Trackback. Perisian Web bagi Merekod Jejak Bungkusan Anda

Keberadaan pelbagai kedai Internet serta platform pembayaran atas talian yang mudah untuk digunakan telah menjadikan sektor e-dagang (ecommerce) semakin rancak di Malaysia. Jika dahulu, anda mungkin perlu melakukan proses pembayaran secara manual dan memaklumkan penjual dengan SMS, tetapi hari ini semua itu hanya tinggal sejarah.



Namun begitu, masih ada lagi ruang untuk diperbaiki dalam proses e-dagang di Malaysia. Suatu proses lengkap yang bermula daripada anda mengklik butang beli sehinggalah kepada penerimaan bungkusan di rumah anda, seharusnya mudah dan tidak membebankan. Konsep ini sepatutnya dirasai bagi kedua dua belah pihak, baik pembeli mahupun penjual.



Menyedari hal ini, seorang pembangun tempatan yang bernama Akif Rabbani dan beberapa rakannya telah membangunkan suatu perisian web yang boleh memudahkan anda untuk menjejak lebih daripada satu bungkusan pada satu satu masa.

Digelar sebagai Trackback, perisian web ini membolehkan anda menjejak pelbagai bungkusan dari pelbagai syarikat kurier berbeza, dalam satu ruangan yang sama, tanpa perlu melawati laman web rasmi mereka. Selain daripada itu, apabila bungkusan anda telah sampai di satu satu lokasi, anda akan diberitahu melalui kiriman emel secara masa langsung.

Apa yang membanggakan, Akif yang baru berumur 17 tahun ini telah berjaya membangunkan Trackback supaya ia dapat menyokong fungsi carian bagi beberapa syarikat kurier tempatan popular seperti Pos Malaysia, GDex, City Link, TA-Q-BIN, SkyNet, ABX Express, Nationwide, DHL dan juga Kangaroo Malaysia.



Tambah beliau lagi, bagi membolehkan akses yang mudah kepada fungsi fungsi di atas, selain daripada anda mengaksesnya menggunakan pelayar web biasa. Aplikasi khusus telefon pintar Trackback sedang dalam proses pembangunan. Ia dijangka akan diluncurkan kepada pengguna dalam beberapa bulan lagi.

Dibangunkan dengan prinsip mudah, kemas dan tidak memeningkan. Trackback dijangka bakal menjadi sesuatu yang besar dalam segmen Startup tempatan tidak lama lagi. Ia juga bakal menjadi aplikasi popular dalam kalangan para penjual atas talian tempatan yang memerlukan servis menjejak bungkusan secara pukal.

Oh ya, jika anda seringkali membeli dua atau tiga barang secara atas talian sekaligus, dan merasakan proses menjejak barang tersebut leceh. Kami syorkan Trackback untuk anda.

TRACKBACK | Facebook

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|