Rabu, 18 Jun 2014

SENI REKA - Hexo+ dan AirDog. Dron Perakam Video dengan Fungsi Penjejak Gerakan Auto

Jika ada diantara anda yang pernah bermain permainan video - Call of Duty: Black Ops 2, pasti anda perasan, dalam misi misi yang anda perlu jayakan. Terdapat penggunaan dron penyerang yang boleh begerak secara autonomi bagi membunuh musuh tanpa perlu dikawal secara lalai.

Kini, teknologi yang anda lihat itu sudah pun direalisasikan dan bakal menemui para pembelinya tidak lama lagi. Hexo+ dan juga AirDog, merupakan dua buah jenama berbeza tetapi menggunapakai prinsip yang serupa.

Kehadiran kamera sukan lasak beresolusi tinggi dalam pasaran belakangan ini, seperti GoPro dan SJ4000, telah menjadikan tugas merakam video semasa bersukan menjadi mudah. Tambahan pula, sokongan aksesori oleh parti ketiga amat mudah diperoleh.

Namun begitu, bagi mendapatkan rakaman video yang baik tanpa perlu menjejaskan kepuasan melakukan aktiviti lasak kadang kala amat sukar, mahal dan berisiko. Dengan daya inovatif dan semangat ingin melakukan sumbangan kepada komuniti sukan lasak, maka kedua dua syarikat tersebut tampil dengan ciptaan mereka sendiri.



Menggunakan platform iOS atau Android sebagai alat kawalan. Hexo+  boleh dikawal bagi menentukan bentuk, kaedah serta jarak penerbangannya dengan menggunakan aplikasi khusus yang direka untuk berhubung secara masa langsung dengan sambungan WiFi terbina dalam.



Apabila Hexo+ sudah mencapai altitud yang dikehendaki, ia akan mula merakam video sambil mengekori anda dalam darjah yang ditetapkan.




Walaupun masih boleh dikawal menggunakan iPhone dengan bantuan penjejak GPS terbina dalam. AirDog cuba hadir dengan pendekatan berbeza. Menurut para perekanya, telefon pintar amat mudah terdedah kepada risiko rosak apabila dipakai semasa melakukan sukan lasak.



Oleh itu, mereka mencipta alat kawalan berasingan yang digelar AirLeash. Alat ini yang berbentuk seperti jam tangan akan menghantar insyarat lokasi dan data trajektori kepada AirDog semasa penerbangan. Data dan isyarat yang diterima tadi pula, akan dikira secara automatik oleh AirDog bagi mendapatkan posisi rakaman video yang terbaik.

Untuk pengetahuan anda, kedua dua projek dron ini sudah pun mencapai sasaran akhir dalam usaha pengumpulan dana di laman web pendanaan khalayak popular Kickstarter. Walaupun kamera GoPro tidak disertakan sekali bersama pakej yang ditawarkan. Harga bagi kedua dua dron ini boleh dikatakan agak mahal. Masing masing berharga USD$899 (RM2,906) bagi Hexo+ dan USD$1,500 (RM4,850) bagi AirDog.

AirDog | Hexo+


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|