Jumaat, 16 Mei 2014

SENI REKA - Tado° Cooling. Alat Kawalan Pintar untuk Pendingin Hawa Anda


Berasal dari Jerman, Tado merupakan satu lagi syarikat usahawan teknologi baharu yang muncul hasil gabungan kemudahan akses internet yang meluas serta ledakan informasi tanpa sempadan yang ketika ini sedang berlaku di seluruh pelusuk dunia.

Jika dahulu, Rekareka pernah menulis artikel berkenaan Nest. Iaitu sebuah peranti pintar seumpama ini (kini sudahpun dipunyai oleh Google). Tado° juga tidak kurang hebatnya. Menurut mereka yang bertanggungjawab mencipta Tado°, peranti ini mampu memimik dan diprogramkan untuk menjadi alat kawalan jauh kepada pendingin hawa yang sedia ada anda.

Tambah mereka lagi, bagi membolehkan produk pintar ini diterima ramai, hampir 82% jenama pendingin hawa pelbagai jenis seperti Unit Tingkap, Unit Mudah Alih dan juga Unit Dinding disokong oleh Tado°.

Bagaimanakan Tado° berfungsi? Disebabkan medium perhubungan alat kawalan jauh konvensional menggunakan gelombang infra merah untuk menghantar isyarat. Maka Tado° dicipta supaya menjadi perantara diantara telefon pintar dengan unit pendingin hawa anda.



Apa yang menarik, Tado° didatangkan sekali dengan aplikasi mudah alihnya, yang direka khusus bagi melakukan beberapa tugas pintar. Antara tugasan tersebut adalah seperti; Tado° dapat mengesan kehadiran orang terakhir di dalam rumah sebelum memadamkan unit pendingin hawa.

Begitu juga apabila pengguna menghampiri radius perimeter rumahnya. Tado° akan diaktifkan secara automatik lalu pendingin hawa akan dihidupkan bagi menyejukkan suhu rumah dengan lebih awal.

Dengan fungsi termometer terbina dalam serta kemampuan Tado° untuk berinteraksi dengan laporan kaji cuaca tempatan melalui internet di telefon pintar anda, maka Tado° mampu memberikan cadangan suhu yang sesuai untuk ruang rumah anda pada satu satu masa.

Ringkasnya, Tado° bukan sahaja mampu mengurangkan kos perbenlanjaan elektrik bulanan anda sahaja tetapi ia juga boleh memberikan keselesaan kepada penghuni rumah pada waktu yang tepat dan sesuai.

Untuk pengetahuan anda, paparan status dan suhu semasa Tado°, direka daripada susunan matriks LED yang membentuk skrin kecil dan boleh disentuh bagi tujuan aturan tetapan.

Selain itu, disamping boleh berhubung melalui WiFi, Tado° juga menyokong fungsi Bluetooth yang mampu mengesan kedudukan penghuni dalam rumah dan membuat jangkaan pendingin hawa mana satu yang perlu dihidupkan.

Projek Tado° yang mengambil masa kajian kira kira hampir 5 tahun lamanya ini, sudah pun memulakan kempen pendanaan khalayak mereka di Kickstarter. Setakat ini, walaupun masih berbaki 26 hari. Mereka sudah pun mengumpul USD$92,704 (RM299,063.10) daripada jumlah sasaran keseluruhan iaitu USD$150,000 (RM489,825.00).

Bagi anda yang berminat untuk menyokong dan menjadi yang terawal memiliki Tado°. Peranti pintar ini boleh dimiliki dengan harga USD$99 (RM320) seunit. (Selagi stok masih ada)

TADO° COOLING












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|