Jumaat, 11 April 2014

SENI REKA - Zuta Pocket Printer. Pencetak Mudah Alih Sebesar Buah Epal


Masa kini menyaksikan, perubahan yang amat ketara dalam saiz peranti elektronik. Terutamanya peranti yang memerlukan ciri mudah alih dan boleh sentiasa dibawa kemana mana. Oleh hal yang demikian, sistem "Desktop" era lewat 80an dan awal 90an seperti, komputer, mesin kira, kalendar, buku nota, jam dan telefon sudah pun kini dipakejkan sekali dalam produk peranti pintar.




Sebagai contoh, bolehlah dikatakan, jika anda mempunyai sebuah iPad Mini, ia sudah cukup bagi membolehkan anda untuk menjawab emel, menulis surat, melakukan kira kira dan juga mencatat nota. Namun begitu, antara peralatan terpenting yang masih tidak direvolusikan cara penggunaanya adalah - Pencetak.



Sebuah syarikat usahawan teknologi dari Israel yang menggelarkan diri mereka sebagai Zuta Labs, telah hadir dengan anjakan teknologi baharu yang diaplikasikan kepada sistem pencetak sedia ada.

Dengan hanya menggunakan kepala pencetak sebagai kerangka utama produk mereka ini, kerangka tradisional yang lain seperti badan pencetak dan unit pemprosesan pencetak telah berjaya dikecilkan sehingga bersaiz sebesar buah epal. (Terima kasih kepada teknologi pengawal mikro masa kini, semuanya semakin kecil!).

Secara ringkasnya, Zuta Pocket Printer adalah sebuah pencetak kecil, yang mana apabila diletakkan diatas kertas A4, ia akan bergerak mengikut paksi X dan Y menggunakan roda roda kecilnya sambil mencetak sebarang maklumat yang diberikan.



Buat masa ini, pencetak kecil tersebut mampu menerima maklumat cetakan daripada komputer biasa, dan menurut Zuta Labs, mereka kini sedang berusaha untuk membangunkan aplikasi khusus bagi pencetak ini dalam persekitaran iOS dan juga Android.

Seperti kebiasaan bagi produk produk sulung yang menawarkan teknologi mendepani zaman seperti ini, masih terdapat beberapa kelemahan yang mana agak ketara jika dibandingkan dengan pencetak biasa. Antaranya adalah, ia hanya mampu mencetak sekitar 1.2 muka surat seminit berbanding pencetak biasa yang mana mampu mencetak 10 muka surat seminit.

Namun begitu, tambah Zuta Labs lagi, dengan hanya sekali caj, pencetak ini dapat bertahan selama sejam dalam satu satu masa. Manakala, kapasiti muka surat bagi satu katrij dakwat pula adalah sekitar 1,000 muka surat.



Untuk pengetahuan anda, projek tersebut masih lagi dalam fasa pengumpulan dana melalui laman web pendanaan khalayak terkenal Kickstarter. Sehingga kini, mereka sudah pun berjaya mengumpul wang sokongan sebanyak USD$150, 000 (RM485, 670).

Dijangkakan, produk mereka ini akan mula menemui pembeli pada Januari 2015 dengan harga USD$180 (RM582) seunit.

ZUTA POCKET PRINTER

3 ulasan:

|