Khamis, 17 April 2014

SENI REKA - Me Mover. Skuter Seumpama Segway Janaan Tenaga Manusia


Jika anda pernah meneliti bagaimana Segway ditunggang dan pergerakan reaksi balas suspensinya yang menarik itu, pasti anda dapat mengecam beberapa persamaan dengan skuter Me Mover ini.

Sekali lihat, ia bukanlah sebuah basikal yang digerakkan dengan mekanisme rantai dan gear yang biasa kita lihat, tetapi ianya merupakan sebuah mekanisme unik yang digelar sebagai "Ratchet Propulsion", atau dalam Bahasa Malaysia-nya - Pendorongan Sehala.



Apakah yang menyebabkan pereka dari Denmark ini mereka Me Mover? Menurut mereka, setelah hampir 5 tahun melalui fasa Penyelidikan dan Pembangunan, dapatlah disimpulkan bahawa, cara tunggangan secara berdiri adalah lebih selamat dan sihat, baik untuk postur badan penunggang dan juga jarak penglihatan trafik di hadapan.

Disebabkan Me Mover adalah skuter beroda tiga, maka penunggang tidak perlu untuk turun atau menongkat kaki ketika berhenti. Cukup dengan, berdiri statik sahaja tanpa sebarang daya, Me Mover akan berhenti dengan sendirinya (sistem brek cakera juga ada disediakan).

Apa yang menarik, apabila ia tidak digunakan, Me Mover boleh dilipat dan dibawa kemana dengan mudah dan bergaya. Untuk pengetahuan anda, selain menjadi alat rekreasi dan juga kenderaan bebas bahan api fosil. Me Mover juga merupakan sebuah alat senaman yang menurut perekanya setara dengan aktiviti berjoging dan juga berlari (tanpa impak pada tapak kaki anda).



Selain daripada itu, disebabkan rekaan mekanismenya yang unik seolah olah alat senaman di gimnasium, julat capaian halaju bagi Me Mover seperti yang dispesifikkan oleh perekanya adalah diantara 0 KM/J - 30 KM/J.

Buat masa ini, Me Mover masih lagi dalam fasa pendanaan khalayak bagi memenuhi kriteria pembikinan pukal. Namun begitu, walaupun kempen masih berbaki 10 hari, mereka sudah pun berjaya melepasi sasaran asal untuk mengutip dana sebanyak USD$100, 000 (RM323, 800).

Bagi anda yang berminat untuk memiliki buah tangan dari Denmark ini, Me Mover boleh ditempah dengan menyokong kempen mereka di Kickstarter dengan kos sebanyak USD$999 (RM3235) seunit.

ME MOVER / KICKSTARTER








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|