Rabu, 30 April 2014

SENI REKA - Kerangka Cetakan 3D Alternatif Baharu Bagi Anduhan Simen Patah Tangan


Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila terdapat idea bagi menggunakan algoritma sum sum tulang untuk dijadikan sebagai asas bagi mereka struktur utama sesuatu bangunan itu.

Disebabkan pertumbuhan tulang adalah satu kejadian alam semula jadi yang sudah terbukti mampu menyokong sistem badan manusia dan haiwan, maka dengan kepesatan teknologi pencetakan 3D belakangan ini, idea idea radikal tersebut semakin mendapat tempat dalam komuniti reka cipta.



Walaupun teknologi perubatan semakin pesat dimajukan saban hari, namun penggunaan simen plaster Paris dan juga kapur masih lagi digunakan secara meluas sebagai alat sokongan kepada rawatan tulang patah (walaupun beberapa tahun lepas, terdapat teknologi kain yang akan mengeras selepas kering).

Namun begitu, masalah utama kepada pendekatan rawatan ini adalah kulit manusia itu sendiri. Sedia maklum bahawa, kulit manusia merupakan salah satu organ sistem perkumuhan badan yang akan mengeluarkan peluh pada waktu dan masa yang tertentu.

Oleh sebab itu, disebabkan simen plaster tidak mempunyai ruang udara yang cukup, maka peluh akan terperangkap dan bakteria mudah untuk membiak. Akhirnya, pesakit akan berasa gatal dan bau yang kurang enak juga akan terhasil.

Baru baru ini, seorang pereka kreatif dari Turki bernama Deniz Karazahin telah cuba untuk menyelesaikan masalah yang kita bincangkan tadi dengan bantuan mesin pencetak 3D.

Digelar sebagai Osteoid, kerangka tersebut berjaya menggantikan fungsi konvesional anduhan yang diperbuat daripada simen plaster Paris, malah dengan lebih baik lagi.

Walaupun ia direka dengan rekaan berongga yang besar, tetapi disebabkan kaedah penciptaannya yang menggunakan resin berkualiti tinggi serta inspirasi algoritma pertumbuhan tulang sum sum, maka kekuatannya sama utuh dengan anduhan konvensional sedia ada.

Apa yang menarik, disamping beratnya yang lebih ringan, ia juga boleh dipadankan dengan rawatan susulan Ultra Bunyi yang mampu mempercepat proses pemulihan tulang manusia sebanyak 40% apabila digunakan setiap hari.

OSTEOID / DENIZ KARAZAHIN





 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|