Selasa, 15 April 2014

SENI REKA - Glowdeck. HiFi Janaan Bluetooth, Pengecas Tanpa Wayar Dalam Satu Sistem


Pelbagai konsep telah diketengahkan dalam sistem HiFi masa kini. Seperti contoh, fungsi seperti padanan Bluetooth merupakan salah satu fungsi yang perlu ada bagi setiap produk HiFi yang muncul dalam pasaran. Kebiasaannya, jika ada produk yang menarik dalam kategori ini, pasti Rekareka akan cuba untuk menulis ulasan berkenaan dengannya (cuba lihat arkib artikel Rekareka, ada beberapa set HiFi kreatif yang mungkin anda suka!)

Lari daripada kebiasaan, Glowdeck merupakan set HiFi mini yang menggabungkan beberapa fungsi menarik yang jarang sekali cuba diketengahkan oleh pereka pereka kreatif. Menurut penciptanya - Justin Kaufman, pendekatan yang cuba diambil adalah untuk mencipta satu stesyen kolektif bagi telefon pintar apabila ia tidak digunakan.

Lazimnya, telefon pintar akan sentiasa bersama dengan kita setiap hari kecuali semasa kita tidur dan mandi (semasa makan pun kita asyik dengan telefon pintar, betulkan?). Bertitik tolak daripada keadaan itu, maka Justin telah mereka Glowdeck untuk mempunyai fungsi yang pelbagai.



Dengan hadirnya teknologi pengecasan bateri tanpa wayar, atau secara popularnya lebih dikenali sebagai Qi, Justin cuba merangka papan litar bersepadu yang mampu menggabungkan fungsi ini bersama sama dengan fungsi Bluetooth dan juga skrin paparan notifikasi automatik. Hasil gabungan ini, maka lahirlah Glowdeck.

Untuk pengetahuan anda, selain daripada fungsi yang dibincangkan tadi, bagi menambahkan tahap interaktif Glowdeck. Ia juga dilengkapi dengan lapisan perspek yang membiaskan cahaya daripada 56 biji LED pelbagai warna, yang direka khusus untuk mengeluarkan cahaya apabila Glowdeck menerima sebarang notifikasi daripada telefon pintar anda. Tambah Justin lagi, sistem LED bersepadu ini juga boleh dikawal melalui aplikasi khas daripada sistem iOS mahupun Android.

Masih berbaki 15 hari, kempen pendanaan khalayak Glowdeck di Kickstarter sudah pun mencapai sasaran minima mereka yang mana kempen itu telah pun mengutip lebih USD$125,600 (RM408,074) setakat ini. Jika anda berminat untuk menjadi yang terawal memiliki Glowdeck, anda boleh memesan HiFi pintar ini dengan harga USD$215 (RM697) seunit.

GLOWDECK / KICKSTARTER


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|