Khamis, 27 Februari 2014

SENI REKA - Projek Ara. Beberapa Kemaskini Penting Status Perkembangannya

Sejurus selepas pengumuman penjualan Motorola oleh Google, mungkin ramai daripada kita yang teringatkan perihal Projek Ara yang beberapa bulan lalu telah menggamit industri peranti pintar mudah alih dunia. Untuk pengetahuan anda, setelah Motorola dijual semula, divisyen Projek Ara telah dipindahkan ke satu kawasan lain yang terpisah daripada Kampus Utama Google di Mountain View. Terletak hampir 7 batu jauhnya dari ibu pejabat utama, kekurangan ini telah memberikan kelebihan kepada Projek Ara untuk mendapat segala akses yang diperlukan bagi projek tersebut.

Gambar: Google ATAP

Gambar: Google ATAP

Gambar: Google ATAP





Menurut laporan, divisyen tersebut sudahpun berjaya menghasilkan 3 prototaip telefon yang berlainan saiz iaitu, Mini (pakej asas), Medium (pakej utama) dan juga Jumbo (pakej phablet). Pakej pakej tersebut ditentukan saiznya oleh kerangka luaran telefon tersebut yang digelar sebagai "endo" (ringkasan kepada endoskeleton) yang dijangka akan dikilangkan oleh Google sendiri.

Gambar: Google ATAP
Disamping menjadi kerangka utama, Endo juga adalah litar yang membolehkan modul modul yang dipasang berhubung antara satu sama lain. Untuk pengetahuan anda, segala komponen lain seperti skrin, RAM, bateri, cip pemprosesan, mikrofon, antena WiFi adalah dalam bentuk modul. Malah pakej utama iaitu Medium bagi projek ini pun mempunyai 10 slot untuk dipasangkan modul modul tadi.

Gambar: Google ATAP

Selain daripada itu, difahamkan juga, dengan pengenalan modul modul yang boleh dicabut pasang ini, peranti yang lahir daripada Projek Ara kelak akan menyokong fungsi "hot swap" dimana jika anda mahu menukar sebarang modul dan memasang modul lain, telefon pintar tersebut tidak perlu ditutup sumber kuasanya.

Namun begitu, walaupun dengan beberapa perkembangan serta pencapaian proses kajian dan pembangunan Projek Ara, pihak pembangun projek ini masih lagi tidak dapat menetapkan kos minima bagi bahan bahan mentah keseluruhan telefon pintar tersebut. Dianggarkan kos keseluruhan bagi satu unit telefon daripada Projek Ara masih lagi tidak dapat ditetapkan di bawah USD$50 / RM165 (kos munasabah jika ia mahu dipasarkan dengan keuntungan yang berbaloi).

Gambar: Google ATAP

Apa pun, komuniti pemerhati teknologi peranti pintar menjangkakan, paling awal Projek Ara menemui pengguna adalah pada tahun depan. Kami di Rekareka percaya dengan hadirnya telefon pintar modular dalam ekosistem peranti mudah alih dunia, pastinya ia akan merubah keseluruhan pelan rekaan industri ini pada masa depan.

Bagi anda yang baru mendengar fasal Projek Ara, Rekareka pernah membincangkan perihal telefon modular ini satu ketika dulu. Anda boleh membacanya disini.

Sungguh mengujakan!

Rujukan: Time.com / Thenextweb / Google ATAP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|