Jumaat, 14 Februari 2014

SENI REKA - Petly. Pemberi Makanan Automatik Untuk Haiwan Peliharaan Anda

Seringkali salah satu masalah utama bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan adalah masa pemberian makanan itu kadangkala tidak tentu waktunya. Hal ini diburukkan lagi apabila semua penghuni dalam rumah tersebut keluar untuk pergi bekerja atau pun ke sekolah. Selalunya ia bermula dalam jam 8:00 pagi hinggalah ke 5:00 petang.

Walaupun masalah ini kadangkala tidaklah begitu ketara sekali impaknya kepada haiwan peliharaan kita, sama ada ianya kucing ataupun anjing, tetapi jika suatu penyelesaian dapat dicipta dan diaplikasikan, tentunya haiwan tersebut lebih terjaga kebajikannya. Tidaklah ia berasa terlalu lapar dan sunyi dalam satu satu masa.



Beberapa jam lepas, suatu kumpulan pereka daripada negara matahari terbit Jepun, telah hadir dengan penyelesaian yang pintar bagi masalah ini. Walaupun konsepnya boleh dikatakan sama dengan beberapa produk sedia ada dalam pasaran, tetapi dengan rekaan dan pilihan rekabentuk produknya yang begitu moden dan menarik, ia boleh dikatakan suatu produk pemberi makanan automatik yang terbaik dalam kelasnya.

Menurut pembangun Petly, produk pemberi makanan automatik lain yang telah ada dalam pasaran selalu menghadapi masalah operasi dalam jangka masa panjang seperti kebocoran bau, makanan tersumbat, bunyi yang terlampau kuat dan juga sukar untuk dibersihkan. Maka dengan itu, Petly telah pun direka sebaik mungkin bagi mengatasi masalah masalah tadi.

Selain daripada itu, dengan visi untuk mengeluarkan produk seringkas dan semudah mungkin bagi pengguna, Petly memang sengaja direka untuk mempunyai satu fungsi utama sahaja iaitu - memberi makanan secara automatik, tanpa ada ciri ciri sampingan yang kadangkala tidak diperlukan langsung sebenarnya. (contoh: kamera)

Untuk pengetahuan anda, ketika artikel ini ditulis, Petly baru sahaja melancarkan kempen pendanaan khalayak mereka selama 60 hari di Indiegogo. Jika anda ingin menjadi orang terawal yang memiliki Petly, ianya boleh dibeli melalui sokongan kempen sebanyak USD$249 / RM820 seunit termasuk kos penghantaran ke Malaysia.

PETLY / INDIEGOGO






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|