Rabu, 19 Februari 2014

SENI REKA - Laforge Icis. Kaca Mata Pintar Alternatif Google Glass

Idea bahawa peranti berkualiti tinggi hanya boleh dikeluarkan oleh syarikat besar sudah tidak boleh dipakai lagi. Lihat saja Pebble, Jolla dan juga Panono, semuanya merupakan produk daripada syarikat syarikat baru anak muda yang mempunyai cita cita yang besar.

Begitu juga halnya dengan Laforge. Sebuah syarikat yang dianggotai enam orang anak muda yang ingin membuat satu olahan semula kepada idea kaca mata pintar. Kaca mata yang diberi nama Icis ini, diringkaskan lagi penggunaannya supaya hanya menjadi perantara notifikasi kepada pengguna, di mana sebuah aplikasi khusus diperlukan untuk dipasang supaya Icis dan telefon pintar pengguna dapat saling berhubung.



Apa yang membezakan Icis dengan Google Glass adalah lensa yang terpasang boleh ditetapkan mengikut preskripsi seseorang itu, sama ada rabun jauh atau pun dekat (Google Glass juga beberapa minggu lepas mengumumkan perkara yang sama). Selain daripada itu, rekaan kerangka Icis juga boleh dipilih, di mana Laforge menawarkan 4 rekaan berbeza dengan pilihan warna mengikut kehendak pengguna.

Mempunyai jangka hayat bateri selama 6 jam seperti yang diberitahu Laforge, Icis sememangnya boleh menjadi hub notifikasi kepada pengguna tanpa perlu mengeluarkan telefon pintar daripada poket mereka. Tambah Laforge lagi, apabila aplikasi socialFlo sudah siap nanti untuk Android, iOS dan juga Windows Phone, pengguna dengan mudah boleh terus membaca notifikasi terus daripada Icis, disamping menjadi paparan kedua kepada aplikasi GPS pengguna.

Namun begitu, buat masa ini, Icis masih lagi ditawarkan dalam dua varian kepada pengguna iaitu versi Icis Beta (tiada kamera) dan juga Icis Bold (dengan kamera, mikrofon dan juga pembesar suara).

Walaupun kempen pendanaan khalayak mereka di Indiegogo baru sahaja dilancarkan, Laforge Icis sudah pun mengutip dana sebanyak USD$9, 281 / RM30, 576 daripada jumlah sasaran mereka iaitu USD$80, 000 / RM263, 560.

Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, versi akhir Laforge Icis dijangka akan menemui para pembeli dan pengguna pada Februari 2015 kelak.

LAFORGE ICIS / INDIEGOGO






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|