Khamis, 6 Februari 2014

SENI REKA - Atlas. Jam Tangan Pintar Khusus Untuk Yang Suka Ke Gimnasium

Menjelang penghujung tahun lepas, trend teknologi boleh pakai (wearable technology) yang dipacu oleh kehendak pasaran semakin berkembang. Nama seperti Pebble, Samsung Gear, Cookoo dan juga Kreyos adalah antara beberapa jenama popular yang ada di luar sana. Rekareka juga pernah menulis perihal jenis jenis jam pintar tersebut beberapa bulan yang lalu.

Baru baru ini, kempen bagi pelancaran skala besar Atlas telah pun dimulakan di Indiegogo. Menurut pembangunnya, Atlas bukanlah seperti jam tangan pintar yang lain yang ada dipasaran kerana ia direka khusus bagi mendapatkan data yang tepat tentang jenis senaman apa yang dilakukan oleh si pemakai.

Apa yang membezakan Atlas dengan jam jam pintar yang lain adalah cara perolehan datanya yang menggunapakai gerakan pengguna dalam sistem paksi Cartesian (X - Y dan Z). Pendekatan ini berbeza dengan jenis jam pintar yang lain di mana, mereka mengguna fungsi pedometer bagi mengira jumlah langkahan pengguna.

Setelah data yang diperoleh, diproses menjadi graf dalam paksi Cartesian tadi, sistem komputer terbina dalam Atlas akan menganalisa jenis senaman apakah yang dilakukan oleh pemakai berdasarkan graf graf sedia ada yang telah dimuatkan di dalamnya. Selain daripada itu, jika ada jenis senaman baru yang dilakukan yang tidak ada dalam simpanan data Atlas, pengguna boleh memasukkannya secara manual mengikut keperluan.



Seperti kebiasaan, jam pintar selalu didatangkan sekali dengan integrasi dua hala melalui aplikasi khusus yang boleh dipasang pada telefon pintar pengguna. Untuk Atlas, aplikasi khusus tersebut mampu memberikan khidmat nasihat tentang jenis rejim senaman apa yang perlu dilakukan oleh pengguna setiap hari. (Contoh: Hari Isnin - Lengan dan Bisep, Hari Selasa - Abdomen)

Setakat hari ini, kempen tersebut sudahpun berjaya mencapai sasaran awal mereka iaitu USD$125, 000.00 / RM415, 812.00 dengan kutipan Perks sebanyak USD$420, 596 / RM1, 399, 112.00 - 34% lebih daripada sasaran awal.

Menurut para pembangun Atlas. Jam tangan pintar ini boleh dibeli sekarang melalui Indiegogo dengan harga USD$159 / RM529 seunit dan dijangka akan mula dihantar kepada pemesan mulai bulan Disember 2014.

ATLAS / Indiegogo









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|