Isnin, 3 Februari 2014

SENI BINA - Olahan Semula Rekaan Dalaman Apartment oleh Z-Axis Design

Jika anda seseorang yang gemarkan idea idea rekaan dalaman, salah satu nama yang anda perlu cari dan ikuti di Facebook adalah Z-Axis Design. Untuk pengetahuan anda, syarikat pereka dalaman yang terkenal dengan konsep olahan bagi apartment kecil ini sudah sering kali mendapat perhatian laman laman web seni bina terkemuka.

Kali ini, sebuah lagi apartment telah melalui proses olahan semula rekaan dalamannya, yang amat menarik, ringkas dan minimal sekali. Kemasan lantai apartment ini, beralaskan lapisan kayu yang agak cair teksturnya telah dipadankan dengan cat warna putih bagi dinding dan juga silingnya, lalu memberikan kesan ruang yang luas dan besar kepada apartment yang kecil ini.

Selain daripada kaedah susunan perabotnya yang agak jauh antara satunya, jenis perabot yang dipilih juga memainkan peranan penting bagi melengkapkan konsep rekaan dalaman apartment ini. Seperti yang anda boleh lihat, kerusi, meja kerja, almari, rak buku dan meja makan yang bercirikan moden serta mempunyai kemasan kayu rata ratanya mempunyai warna yang gelap supaya unsur keseimbangan dapat diwujudkan.

Apartment ini yang jika sekali lihat hanya menerapkan unsur hitam dan putih, namun begitu, dengan sedikit cetusan warna yang terang biru pada rak buku, dan oren pada cadar katil sedikit sebanyak menghilangkan kebosanan konsep dua warna tadi.

Bagi Rekareka, jika kami mempunyai peluang untuk memiliki apartment seumpama ini, pasti konsep yang diketengahkan oleh Z-Axis Design ini akan menjadi rujukan utama kami. Walaupun bagi sesetengah orang, keringkasan yang agak keterlaluan itu kelihatan tidak begitu sesuai dan optimum dari segi penggunaan ruang, Rekareka percaya, keletihan apabila pulang dari tempat kerja pasti akan hilang sebaik sahaja masuk ke apartment seperti ini.

Oh ya, apartment ini terletak di Taichung, Taiwan. Menarik bukan?















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|