Khamis, 20 Februari 2014

REKA SEMULA - Apakah Konsep UI/UX Yang Akan ada Pada Kereta Masa Depan?

Masa kini menyaksikan, set kawalan papan pemuka pada setiap kereta yang dikeluarkan sudah mula menggunakan skrin sesentuh. Begitu juga halnya dengan kereta buatan tempatan seperti Perodua Myvi baharu dan juga kereta keluaran Proton iaitu Prevè.

Namun begitu, suatu kekurangan yang Rekareka rasa, anda juga merasainya iaitu skrin paparan pada set kawalan tersebut tidaklah seperti apa yang anda peroleh pada skrin sesentuh peranti pintar yang lain seperti iPad dan juga tablet Windows Phone. Malah, kadangkala skrin sesentuh tersebut tidaklah sesensitif seperti yang dijangkakan.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa, jika kita membeli set ICE (In Car Entertainment / Sistem Hiburan Dalam Kereta) parti ketiga yang ada dijual di kedai aksesori, kualiti yang lebih baik dapat diperoleh. Tetapi, daripada pengamatan kami, walaupun sensitiviti skrin sesentuhnya lebih baik, antaramuka penggunanya pula yang agak kurang diberikan perhatian.

Gambar : Kenwood DNN990HD / Model terbaru mereka bagi sistem hiburan dalam kereta.


Ikon yang terlalu besar, butang yang agak keterlaluan adalah antara beberapa contoh kekurangan yang ada pada sistem yang ditawarkan sekarang.

Seorang pereka produk yang berbakat dari San Francisco, Amerika Syarikat bernama Matthaeus Krenn telah cuba hadir dengan konsep idea baharu untuk mengatasi masalah ini. Dengan pendekatan bahawa, antaramuka pengguna kereta patut diinspirasikan daripada kepesatan teknologi peranti pintar, Krenn telah merakam satu video untuk memaparkan ideanya yang menarik itu.

Menurut Krenn, penggunaan ikon kini boleh dianggap sudah lapuk dan kurang menarik, maka beliau telah menggunakan sepenuhnya konsep skrin sesentuh berdasarkan gerakan sentuhan jari. Seperti Apple pada sistem sesentuhnya, idea Krenn juga bergantung pada bilangan jari yang digunakan pada satu satu masa.



Seolah olah sistem kawalan kapal angkasa USS Enterprise. Bolehlah dikatakan, idea Krenn ini amat menarik sekali. Suatu sistem kawalan yang berfungsi khusus untuk satu tugas dan tidak disusahkan dengan fungsi fungsi mengarut yang lain.

Oh ya, jika anda membaca artikel ini melalui iPad, anda boleh merasa sendiri bagaimana antaramuka tersebut berfungsi dengan melawati laman web Krenn. Mungkin dalam masa 5 tahun akan datang, sistem kawalan seperti ini akan mula diimplementasikan secara meluas. Siapa tahu?

KONSEP UI/UX BAHARU UNTUK KERETA 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|