Rabu, 26 Februari 2014

PERISIAN - Telegram. Aplikasi Alternatif Kepada Whatsapp Untuk iOS dan Android

Menurut laporan di beberapa laman web, sejurus selepas perkhidmatan Whatsapp mengalami sedikit masalah selama 4 jam tempoh hari, hampir 5 juta pengguna telah beralih arah kepada aplikasi yang hampir serupa iaitu Telegram.






Hal ini menyebabkan Telegram menjadi antara aplikasi sosial popular yang dimuat turun pengguna di AppStore, mendahului Kik, Whatsapp dan juga Facebook. Apa yang menyebabkan peralihan ini? Adakah ianya memang sengaja kelihatan seperti dirancang, selepas rentetan Facebook membeli Whatsapp?


Menurut jurucakap Telegram - Markus Ra, ianya bukanlah semata mata disebabkan peristiwa itu tadi. Tetapi sebaliknya disebabkan beberapa faktor lain yang sememangnya membuatkan Telegram tampak lebih bagus daripada aplikasi pesaing yang lain.

Menggabungkan kepantasan yang ada pada Whatsapp dan juga ciri ciri keselamatan yang diterapkan dalam Snapchat. Nampaknya, aplikasi Telegram yang diasaskan oleh pelopor media sosial terbesar Rusia iaitu pasangan adik beradik Durov ini, memang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Kelihatan seperti menggunakan resipi dan DNA yang sama dengan Whatsapp pada antaramuka penggunanya, Telegram sebenarnya mengaplikasikan sistem keselamatan sumber terbuka yang baru dicipta mereka. Ia digelar - Protokol MTProto.

Menurut mereka lagi, dengan protokol ini, pengguna dapat bersembang melalui Telegram tanpa risau akan sebarang kebocoran rahsia kerana mesej tersebut dilindungi dengan enkripsi dari hujung-ke-hujung.

Selain daripada itu, pengguna juga dapat menetapkan fungsi padam sendiri pada mesej mereka seperti Snapchat. Untuk tetapan tersebut, pengguna boleh menetapkan pemasa padam sendiri mesej mereka bermula dari dua saat sehinggalah satu minggu.

Disebabkan Telegram dibina atas dasar untuk memberikan servis penghantaran mesej bagi pengguna, maka tambah Durov lagi, Telegram akan sentiasa kekal percuma tanpa sebarang iklan mahupun caj tersembunyi.



Disamping fungsi fungsinya yang gah ini, Telegram bagi Rekareka, sememangnya alternatif terbaik bagi Whatsapp. Terutamanya jika anda seseorang yang selalu membincangkan rahsia rahsia penting melalui telefon pintar anda.

Apa yang penting, ia kekal percuma.

TELEGRAM

Sumber : Techcrunch

2 ulasan:

|