Khamis, 27 Februari 2014

SENI REKA - Projek Ara. Beberapa Kemaskini Penting Status Perkembangannya

Sejurus selepas pengumuman penjualan Motorola oleh Google, mungkin ramai daripada kita yang teringatkan perihal Projek Ara yang beberapa bulan lalu telah menggamit industri peranti pintar mudah alih dunia. Untuk pengetahuan anda, setelah Motorola dijual semula, divisyen Projek Ara telah dipindahkan ke satu kawasan lain yang terpisah daripada Kampus Utama Google di Mountain View. Terletak hampir 7 batu jauhnya dari ibu pejabat utama, kekurangan ini telah memberikan kelebihan kepada Projek Ara untuk mendapat segala akses yang diperlukan bagi projek tersebut.

Gambar: Google ATAP

Gambar: Google ATAP

Gambar: Google ATAP





Menurut laporan, divisyen tersebut sudahpun berjaya menghasilkan 3 prototaip telefon yang berlainan saiz iaitu, Mini (pakej asas), Medium (pakej utama) dan juga Jumbo (pakej phablet). Pakej pakej tersebut ditentukan saiznya oleh kerangka luaran telefon tersebut yang digelar sebagai "endo" (ringkasan kepada endoskeleton) yang dijangka akan dikilangkan oleh Google sendiri.

Gambar: Google ATAP
Disamping menjadi kerangka utama, Endo juga adalah litar yang membolehkan modul modul yang dipasang berhubung antara satu sama lain. Untuk pengetahuan anda, segala komponen lain seperti skrin, RAM, bateri, cip pemprosesan, mikrofon, antena WiFi adalah dalam bentuk modul. Malah pakej utama iaitu Medium bagi projek ini pun mempunyai 10 slot untuk dipasangkan modul modul tadi.

Gambar: Google ATAP

Selain daripada itu, difahamkan juga, dengan pengenalan modul modul yang boleh dicabut pasang ini, peranti yang lahir daripada Projek Ara kelak akan menyokong fungsi "hot swap" dimana jika anda mahu menukar sebarang modul dan memasang modul lain, telefon pintar tersebut tidak perlu ditutup sumber kuasanya.

Namun begitu, walaupun dengan beberapa perkembangan serta pencapaian proses kajian dan pembangunan Projek Ara, pihak pembangun projek ini masih lagi tidak dapat menetapkan kos minima bagi bahan bahan mentah keseluruhan telefon pintar tersebut. Dianggarkan kos keseluruhan bagi satu unit telefon daripada Projek Ara masih lagi tidak dapat ditetapkan di bawah USD$50 / RM165 (kos munasabah jika ia mahu dipasarkan dengan keuntungan yang berbaloi).

Gambar: Google ATAP

Apa pun, komuniti pemerhati teknologi peranti pintar menjangkakan, paling awal Projek Ara menemui pengguna adalah pada tahun depan. Kami di Rekareka percaya dengan hadirnya telefon pintar modular dalam ekosistem peranti mudah alih dunia, pastinya ia akan merubah keseluruhan pelan rekaan industri ini pada masa depan.

Bagi anda yang baru mendengar fasal Projek Ara, Rekareka pernah membincangkan perihal telefon modular ini satu ketika dulu. Anda boleh membacanya disini.

Sungguh mengujakan!

Rujukan: Time.com / Thenextweb / Google ATAP

SENI REKA - Hexi Wall. Jubin Bergerak Balas Menjadikan Dinding Anda Seolah Olah Bernyawa

Seorang pereka grafik daripada Kanada (Thibaut Sld) yang kini sedang berkesperimentasi dengan motor dan juga mikropengawal telah cuba untuk mencipta konsep apa yang disebut beliau sebagai dinding bergerak balas. Digelar sebagai Hexi Wall, dinding ini adalah gabungan 60 panel jubin yang mempunyai kebolehan untuk mengesan pergerakan manusia yang lalu berhampiran lalu memberikan gerakan balasnya tersendiri.


Projek yang dimulakan berdasarkan inisiatif sendiri ini, adalah hasil daripada gabungan konsep dan idea berkenaan geometri, seni dan juga pegerakan mekanikal yang kompleks. Untuk pengetahuan anda, untuk menghasilkan gerakan tersebut, jubin jubin yang berbentuk heksagon itu telah dipasangkan sensor pengesan yang berupaya mengesan beberapa jenis pergerakan manusia, antaranya seperti melompat, menepuk dan juga pergerakan berjalan yang biasa.

Kelihatan seolah olah berada di dalam filem sains fiksyen masa depan, pergerakan balas yang dihasilkan Hexi Wall ini sungguh tidak dijangka.

Menarik bukan?

HEXI WALL



Rujukan: Designboom

Rabu, 26 Februari 2014

PERISIAN - Telegram. Aplikasi Alternatif Kepada Whatsapp Untuk iOS dan Android

Menurut laporan di beberapa laman web, sejurus selepas perkhidmatan Whatsapp mengalami sedikit masalah selama 4 jam tempoh hari, hampir 5 juta pengguna telah beralih arah kepada aplikasi yang hampir serupa iaitu Telegram.






Hal ini menyebabkan Telegram menjadi antara aplikasi sosial popular yang dimuat turun pengguna di AppStore, mendahului Kik, Whatsapp dan juga Facebook. Apa yang menyebabkan peralihan ini? Adakah ianya memang sengaja kelihatan seperti dirancang, selepas rentetan Facebook membeli Whatsapp?


Menurut jurucakap Telegram - Markus Ra, ianya bukanlah semata mata disebabkan peristiwa itu tadi. Tetapi sebaliknya disebabkan beberapa faktor lain yang sememangnya membuatkan Telegram tampak lebih bagus daripada aplikasi pesaing yang lain.

Menggabungkan kepantasan yang ada pada Whatsapp dan juga ciri ciri keselamatan yang diterapkan dalam Snapchat. Nampaknya, aplikasi Telegram yang diasaskan oleh pelopor media sosial terbesar Rusia iaitu pasangan adik beradik Durov ini, memang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Kelihatan seperti menggunakan resipi dan DNA yang sama dengan Whatsapp pada antaramuka penggunanya, Telegram sebenarnya mengaplikasikan sistem keselamatan sumber terbuka yang baru dicipta mereka. Ia digelar - Protokol MTProto.

Menurut mereka lagi, dengan protokol ini, pengguna dapat bersembang melalui Telegram tanpa risau akan sebarang kebocoran rahsia kerana mesej tersebut dilindungi dengan enkripsi dari hujung-ke-hujung.

Selain daripada itu, pengguna juga dapat menetapkan fungsi padam sendiri pada mesej mereka seperti Snapchat. Untuk tetapan tersebut, pengguna boleh menetapkan pemasa padam sendiri mesej mereka bermula dari dua saat sehinggalah satu minggu.

Disebabkan Telegram dibina atas dasar untuk memberikan servis penghantaran mesej bagi pengguna, maka tambah Durov lagi, Telegram akan sentiasa kekal percuma tanpa sebarang iklan mahupun caj tersembunyi.



Disamping fungsi fungsinya yang gah ini, Telegram bagi Rekareka, sememangnya alternatif terbaik bagi Whatsapp. Terutamanya jika anda seseorang yang selalu membincangkan rahsia rahsia penting melalui telefon pintar anda.

Apa yang penting, ia kekal percuma.

TELEGRAM

Sumber : Techcrunch

Selasa, 25 Februari 2014

SENI REKA - Fin. Cincin Yang Menjadikan Tapak Tangan Anda "Pintar"

Mungkin para pembangun dan pereka dalam RHLVision yang merupakan syarikat yang mengetengahkan produk baharu ini memikirkan bahawa, sudah terlalu banyak peranti boleh pakai yang berkonsepkan gelang dan juga jam tangan yang ada dalam pasaran. Sebut sahaja, Pebble, Kreyos, Samsung Gear Neo dan Jawbone Up, semuanya adalah produk produk baru yang menggunapakai konsep tersebut.



Menggunakan Bluetooth sebagai perantara, Fin merupakan cincin pintar yang memetakan butang arahan virtual pada telapak tangan anda bagi tujuan kawalan untuk apa apa peranti yang dipadankan dengannya.

Untuk pengetahuan anda, apa yang membezakan ia dengan peranti yang lain adalah, penggunaan sensor optikal membolehkan Fin mengesan dan mendaftar gerakan jari anda seterusnya memberikan isyarat kepada peranti pintar yang dipadankan tadi. Yang menariknya, apa apa peranti yang mempunyai ciri Bluetooth mampu dipadankan dengan Fin.

Seperti contoh, jika anda menggerakkan ibu jari anda kebawah, ia akan memperlahankan bunyi set TV anda, manakala jika anda mahu memainkan lagu yang seterusnya dalam senarai muzik anda, anda hanya perlu menggerakkan jari anda ke kanan. Mudah bukan?

Buat masa ini, Fin sudah pun mencapai sasaran mereka untuk meraih sokongan pendanaan khalayak di Indiegogo sepenuhnya. Dijangka akan mula dihantar kepada pembeli pada bulan September 2014, Fin dijual dengan harga USD$99 / RM324 seunit.

FIN / INDIEGOGO








SENI REKA - Pencetak 3D Kini dengan Kebolehan Baharu. Mencetak Menggunakan Besi

Tahun 2013 yang lepas telah banyak menyaksikan pembebasan teknologi yang sebelum ini pernah dianggap mahal dan sukar diakses umum kepada sesuatu yang lebih murah dan mudah didapati.


Walaupun logam adalah antara bahan asas dalam pembinaan, sama ada bangunan ataupun struktur kenderaan. Namun, melihat komponen logam dicetak menggunakan pencetak 3D bukanlah sesuatu yang biasa kita dengar dan lihat.


Baru baru ini, kolaborasi antara syarikat perisian terkemuka Autodesk dengan seorang pereka dari Belanda yang bernama Joris Laarman telah berjaya menghasilkan prototaip awal pencetak 3D logam yang menurut mereka akan lebih murah untuk dibina dalam skala yang besar. Prototaip tersebut digelar MX3D - Metal.

Menurut Pengarah Autodesk, Maurice Conti. Jika anda mahu mencetak logam menggunakan Pencetak 3D logam yang buat masa ini hanya dimiliki oleh syarikat besar seperti GE dan Boeing, berkemungkinan satu tugasan pencetakan tersebut akan menelan belanja antara USD$20,000 hingga USD$30,000.

Bagi pengetahuan anda, dengan menggunakan tangan robotik seperti yang anda selalu lihat pada kilang automotif, MX3D - Metal berfungsi dengan menggabungkan tangan robotik tersebut dengan alat kimpalan berkomputer yang membolehkan gabungan sistem ini bergerak seiringan mengikut arahan yang diberi.

Buat masa ini, MX3D - Metal masih dalam fasa ujikaji, dan ianya mungkin memerlukan beberapa bulan lagi untuk proses pemerhatian dilakukan. Ini supaya tetapan yang lebih tepat untuk pembangunan perisiannya dapat dicari.



Rujukan: Core77 / Popular Science / F.Co Design

Isnin, 24 Februari 2014

PERISIAN - Sailfish OS. Jadi Yang Terawal Menggunakan Ia di Nexus 4 Anda

Jika anda seorang pengguna peranti Android terkemuka Google iaitu Nexus 4, dan sudah pun berasa bosan dengan beberapa ROM Android sedia ada yang anda peroleh dari laman web XDA Developers itu. Mungkin Sailfish OS adalah jawapan kepada kebosanan anda.



Selepas dua hari pihak Jolla Ltd. mengeluarkan kenyataan medianya, seorang pengguna Youtube yang memakai nama Sledges telah pun memuat naik video yang memaparkan penggunaan penuh Sailfish OS 1.0 pada peranti Nexus 4 beliau.

Untuk pengetahuan anda, pada 21 Februari lepas, melalui kenyataan media yang sama, Jolla Ltd. juga ada mengumumkan bahawa Sailfish OS 1.0 akan diluncurkan bagi edaran muat turun seluruh dunia dalam masa terdekat.



Disamping itu, bagi pengguna Android yang mahu mencuba bagaimana pengalaman antaramuka Sailfish OS, pelancar khusus yang memimik antaramuka Sailfish OS juga akan diluncurkan pada julat waktu yang sama kelak.

Rekareka percaya, Sledges mungkin salah seorang daripada pembangun aktif yang berada dalam komuniti pembangun Sailfish OS. Menurut beliau, jika anda mahu menjadi yang terawal memasang Sailfish OS pada Nexus 4 anda. Anda bolehlah menyertai ruang sembang #sailfishos di irc.freenode.net

Oh ya, bagi anda yang baru mendengar perihal Jolla, Rekareka pernah menulis artikel berkenaannya pada tahun lepas, anda boleh membacanya di sini.

Sabtu, 22 Februari 2014

SENI REKA - Lampu Suluh Tanpa Bateri Ciptaan Remaja 16 Tahun

Menyedari badan manusia mengeluarkan sumber haba yang jarang digunakan. Remaja perempuan yang berasal dari Kanada ini telah cuba untuk mencipta lampu suluh yang boleh dinyalakan dengan hanya menggunakan haba tersebut.

Menurut kajian beliau, badan manusia secara persisnya mengeluarkan haba sebanyak 5.7 mW/cm2 , dan daripada keseluruhan haba itu, hanya 0.5 mW sahaja yang diperlukan untuk menghidupkan satu unit LED dengan keterangan maksimum. Bagi membantu ideanya direalisasikan, Ann Makosinski yang baru berusia 16 tahun ini menggunakan jubin Peltier yang mampu mengubah tenaga haba kepada tenaga elektrik berdasarkan prinsip termoelektrik.



Untuk pengetahuan anda, prinsip termoelektrik adalah suatu prinsip dimana, tenaga elektrik dapat dihasilkan natijah daripada pergerakan tenaga haba dari satu medium ke satu medium yang lain. Secara mudahnya, pergerakan haba ini yang turut bersama sama membawa caj caj elektron dari kawasan panas ke kawasan yang lebih sejuk akhirnya menyebabkan tenaga elektrik terhasil.

Setelah beberapa siri eksperimen dan kira kira, dengan hanya menggunakan paip PVC sebagai prototaip, akhirnya Ann berjaya mencipta lampu suluh tersebut yang apabila dipegang dengan kedua dua belah tangan, mampu menyalakan cahaya secerah 5 kandela.

Apa yang menarik, dengan terciptanya lampu suluh ini, Ann telah bejaya memenangi anugerah rekaan terbaik dalam pertandingan Pesta Sains Google tahun 2013. Selain daripada itu, gadis muda ini juga turut dinobatkan anugerah "30 Under 30" oleh Majalah Time baru baru ini.

THE HOLLOW FLASHLIGHT



Gambar: Vicnews / Ann Makosinski's 'Hollow Flashlight' heading to Google Science Fair

Gambar: Vicnews / Ann Makosinski's 'Hollow Flashlight' heading to Google Science Fair

SENI REKA - Tango. Telefon Berkeupayaan Kamera 3D Baharu daripada Google

Pada Khamis yang lepas, Google baru sahaja mengumumkan projek telefon terbaru mereka digelar Tango. Telefon pintar yang dijana oleh Android ini bukanlah seperti telefon Android yang biasa di mana ia dilengkapi kamera berkeupayaan untuk merakam ruang lingkup sesuatu kawasan itu dalam bentuk 3 Dimensi.



Menurut Johnny Lee, Ketua Teknikal ATAP (Google Advance Technology and Project), matlamat utama Tango adalah untuk menambah baik kefahaman teknologi telefon pintar semasa, tentang aspek ruang dan pergerakan seperti yang dilihat melalui kaca mata manusia.



Untuk membolehkan Tango melakukan tugas yang unik ini, ia dilengkapi dengan beberapa sensor 3D yang mampu untuk merakam lebih daripada suku juta ukuran dalam masa satu saat. Untuk pengetahuan anda, walaupun Tango masih lagi dalam fasa ujikaji, 200 prototaip awalnya akan dihantar kepada para pembangun yang dipilih oleh Google sendiri pada pertengahan Mac ini.

Tambah Google lagi, teknologi yang ada pada Tango ini mungkin akan mampu diluaskan penggunaannya pada permainan video dan juga navigasi di dalam bangunan.

Kemas kini! (1:20 pagi / Sabtu)



Laman web terkemuka teknologi baru - Techcruch baru sahaja memuat naik apa yang mereka katakan sebagai ujikaji langsung pertama Tango dalam memetakan ruang di dalam sebuah bilik. Apa yang Rekareka boleh katakan hanyalah Wow!

Teknologi ini, seumpama apa yang anda pernah saksikan dalam filem Star Trek : Into Darkness, babak semasa Captain Kirk memantau CCTV di kawasan letupan arkib perpustakaan.

Rujukan : Mashable / Techcrunch


Jumaat, 21 Februari 2014

SENI REKA - S-512. Jet Peribadi Supersonik kegunaan Awam tanpa Tingkap Keliling

Sasaran Spike Aerospace untuk membina jet supersonik generasi baharu yang mampu terbang selaju 1.8 Mach memerlukan badan kerangka pesawat yang ringan dan kuat. Oleh sebab itu, komponen tingkap yang sering hadir pada badan badan pesawat komersial biasa nampaknya tidak sesuai untuk projek mereka ini. Menurut mereka, tingkap memerlukan komponen sokongan tambahan, dan tambahan komponen bermakna, berat juga akan bertambah!


Dijangka akan mula melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 2018. Menariknya, jet peribadi awam ini akan menggunakan skrin berdefinisi tinggi yang memaparkan video pemandangan luar pesawat bagi menggantikan tingkap. Video tersebut pula akan diperoleh daripada kamera kamera kecil yang terpasang di luar badan pesawat. Hasil daripada teknologi semasa yang sudah maju dalam sektor video digital, maka paparan yang terhasil akan kelihatan seakan akan pemandangan sebenar.



Tambah Spike Aerospace lagi, jika para penumpang mahu berehat atau tidur, mereka boleh sahaja untuk menukar paparan skrin tersebut kepada paparan yang lebih rendah keamatan cahayanya. Seolah olah memimik persekitaran waktu malam.




Untuk pengetahuan anda, dengan mengambil pendekatan tiada tingkap ini, masalah berat dan faktor seretan udara dapat dikurangkan, seterusnya membolehkan S-512 membawa penumpang sehingga 18 orang pada kelajuan maksimum dalam satu satu masa.



Sumber: Wired.com / Spikeaerospace.com

Khamis, 20 Februari 2014

REKA SEMULA - Apakah Konsep UI/UX Yang Akan ada Pada Kereta Masa Depan?

Masa kini menyaksikan, set kawalan papan pemuka pada setiap kereta yang dikeluarkan sudah mula menggunakan skrin sesentuh. Begitu juga halnya dengan kereta buatan tempatan seperti Perodua Myvi baharu dan juga kereta keluaran Proton iaitu Prevè.

Namun begitu, suatu kekurangan yang Rekareka rasa, anda juga merasainya iaitu skrin paparan pada set kawalan tersebut tidaklah seperti apa yang anda peroleh pada skrin sesentuh peranti pintar yang lain seperti iPad dan juga tablet Windows Phone. Malah, kadangkala skrin sesentuh tersebut tidaklah sesensitif seperti yang dijangkakan.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa, jika kita membeli set ICE (In Car Entertainment / Sistem Hiburan Dalam Kereta) parti ketiga yang ada dijual di kedai aksesori, kualiti yang lebih baik dapat diperoleh. Tetapi, daripada pengamatan kami, walaupun sensitiviti skrin sesentuhnya lebih baik, antaramuka penggunanya pula yang agak kurang diberikan perhatian.

Gambar : Kenwood DNN990HD / Model terbaru mereka bagi sistem hiburan dalam kereta.


Ikon yang terlalu besar, butang yang agak keterlaluan adalah antara beberapa contoh kekurangan yang ada pada sistem yang ditawarkan sekarang.

Seorang pereka produk yang berbakat dari San Francisco, Amerika Syarikat bernama Matthaeus Krenn telah cuba hadir dengan konsep idea baharu untuk mengatasi masalah ini. Dengan pendekatan bahawa, antaramuka pengguna kereta patut diinspirasikan daripada kepesatan teknologi peranti pintar, Krenn telah merakam satu video untuk memaparkan ideanya yang menarik itu.

Menurut Krenn, penggunaan ikon kini boleh dianggap sudah lapuk dan kurang menarik, maka beliau telah menggunakan sepenuhnya konsep skrin sesentuh berdasarkan gerakan sentuhan jari. Seperti Apple pada sistem sesentuhnya, idea Krenn juga bergantung pada bilangan jari yang digunakan pada satu satu masa.



Seolah olah sistem kawalan kapal angkasa USS Enterprise. Bolehlah dikatakan, idea Krenn ini amat menarik sekali. Suatu sistem kawalan yang berfungsi khusus untuk satu tugas dan tidak disusahkan dengan fungsi fungsi mengarut yang lain.

Oh ya, jika anda membaca artikel ini melalui iPad, anda boleh merasa sendiri bagaimana antaramuka tersebut berfungsi dengan melawati laman web Krenn. Mungkin dalam masa 5 tahun akan datang, sistem kawalan seperti ini akan mula diimplementasikan secara meluas. Siapa tahu?

KONSEP UI/UX BAHARU UNTUK KERETA 







Rabu, 19 Februari 2014

SENI REKA - Laforge Icis. Kaca Mata Pintar Alternatif Google Glass

Idea bahawa peranti berkualiti tinggi hanya boleh dikeluarkan oleh syarikat besar sudah tidak boleh dipakai lagi. Lihat saja Pebble, Jolla dan juga Panono, semuanya merupakan produk daripada syarikat syarikat baru anak muda yang mempunyai cita cita yang besar.

Begitu juga halnya dengan Laforge. Sebuah syarikat yang dianggotai enam orang anak muda yang ingin membuat satu olahan semula kepada idea kaca mata pintar. Kaca mata yang diberi nama Icis ini, diringkaskan lagi penggunaannya supaya hanya menjadi perantara notifikasi kepada pengguna, di mana sebuah aplikasi khusus diperlukan untuk dipasang supaya Icis dan telefon pintar pengguna dapat saling berhubung.



Apa yang membezakan Icis dengan Google Glass adalah lensa yang terpasang boleh ditetapkan mengikut preskripsi seseorang itu, sama ada rabun jauh atau pun dekat (Google Glass juga beberapa minggu lepas mengumumkan perkara yang sama). Selain daripada itu, rekaan kerangka Icis juga boleh dipilih, di mana Laforge menawarkan 4 rekaan berbeza dengan pilihan warna mengikut kehendak pengguna.

Mempunyai jangka hayat bateri selama 6 jam seperti yang diberitahu Laforge, Icis sememangnya boleh menjadi hub notifikasi kepada pengguna tanpa perlu mengeluarkan telefon pintar daripada poket mereka. Tambah Laforge lagi, apabila aplikasi socialFlo sudah siap nanti untuk Android, iOS dan juga Windows Phone, pengguna dengan mudah boleh terus membaca notifikasi terus daripada Icis, disamping menjadi paparan kedua kepada aplikasi GPS pengguna.

Namun begitu, buat masa ini, Icis masih lagi ditawarkan dalam dua varian kepada pengguna iaitu versi Icis Beta (tiada kamera) dan juga Icis Bold (dengan kamera, mikrofon dan juga pembesar suara).

Walaupun kempen pendanaan khalayak mereka di Indiegogo baru sahaja dilancarkan, Laforge Icis sudah pun mengutip dana sebanyak USD$9, 281 / RM30, 576 daripada jumlah sasaran mereka iaitu USD$80, 000 / RM263, 560.

Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, versi akhir Laforge Icis dijangka akan menemui para pembeli dan pengguna pada Februari 2015 kelak.

LAFORGE ICIS / INDIEGOGO






SENI REKA - RFID Bikealarm. Penggera Sensitif Gerakan untuk Basikal dengan RFID

Teknologi asas RFID mula dicipta oleh Léon Theremin untuk Kesatuan Soviet ketika Perang Dunia Kedua. Alat tersebut dicipta untuk memancarkan gelombang radio terus yang dipantulkan kepadanya bersama sama dengan maklumat audio bagi tujuan pengintipan maklumat perbualan.



Pada masa kini, teknologi RFID telah dikembangkan penggunaannya dan sering diaplikasikan dalam beberapa sektor utama industri dunia seperti penternakan, perkilangan, farmasi, serta industri minyak dan gas bagi tujuan identifikasi maklumat. Selain daripada itu, disebabkan saiznya juga yang kecil, RFID sememangnya satu teknologi yang mudah untuk digunakan secara meluas.

Walaupun beliau seorang jurufoto dan pereka, Dennis Siegel yang berasal dari Jerman ini telah mereka satu sistem penggera basikal dua hala yang menggunapakai teknologi RFID ini sebagai teras utama produk tersebut. Sistem yang dikenali sebagai RFID Bikealarm ini juga sensitif terhadap pergerakan dan getaran yang menggerakkan basikal tersebut. Oleh hal yang demikian, ia mampu membunyikan penggera secara automatik untuk menakutkan pencuri.

Apa yang menarik RFID Bikealarm ini telah ditetapkan aturannya untuk hanya mengesan getaran yang kuat sahaja, dan bukannya getaran getaran kecil seperti yang dikeluarkan oleh kenderaan yang lalu lalang di kawasan berhampiran.

Disebabkan penggera basikal ini menggunapakai teknologi RFID, dengan hanya melalukan alat kawalan penggera di bawah modul utama, pengguna dengan mudah boleh mengaktifkan atau menyahaktifkannya.

Menarik bukan? 

RFID BIKEALARM





Selasa, 18 Februari 2014

SENI REKA - Flip. Jam Loceng Digital Menarik Yang Bertindak Balas dengan Pergerakan

Selepas kehadiran telefon bimbit yang mempunyai fungsi jam loceng terbina dalam pada pasaran teknologi dunia sejak 15 tahun yang lepas, jam loceng konvensional sudah jarang jarang sekali digunakan oleh kita. Tambahan pula, saiz telefon bimbit yang kecil itu lebih mudah untuk dibawa tidur bersama.

Dengan hasrat untuk memurnikan fungsi jam loceng konvensional yang tugas utamanya untuk mengejut pengguna pada waktu pagi, Flip telah direka dengan mengambil kira pergerakan manusia ketika dalam keadaan mamai sejurus terjaga dari tidur. Oleh hal yang demikian, apabila Flip membunyikan penggeranya pada waktu yang ditetapkan, pengguna dengan mudah boleh menterbalikkannya untuk mematikan penggera tersebut. Selain daripada itu, skrin paparan Flip juga dicipta untuk turut berpusing mengikut orientasi utamanya apabila ia diterbalikkan.

Didatangkan dengan 10 jenis warna terang yang berbeza, Flip telah direka oleh Adrian dan Jeremy Wright yang juga pasangan pemenang Anugerah Red Dot tidak beberapa lama dahulu.

Bagi anda yang ingin memiliki Flip, jam loceng digital yang ringkas ini dijual dengan harga 39€ / RM177 melalui laman kedai atas talian Lexon.

FLIP





Rujukan : Designboom

Isnin, 17 Februari 2014

REKA SEMULA - Projek Rekaan Pembungkusan Yang Minimalis Dan Ringkas

Sudah menjadi kebiasaan bagi produk komersial sedia ada yang kita lihat dalam pasaran menggunakan rekaan pembungkus yang penuh dengan illustrasi menarik dan warna yang pelbagai,  yang mampu memikat mata pembeli.

Rekaan yang mendapat "lampu hijau" untuk digunakan secara meluas pada pembungkus produk ini selalunya sudah melalui fasa kajian dan bancian orang ramai tentang rekaan mana yang mendapat undian terbaik.

Namun begitu, bagi mencipta kelainan dan perspektif yang lain. Sebuah syarikat perunding rekaan produk bernama Antrepo dari Turki ingin mencuba satu eksperimen yang mana mereka telah meringkaskan rekaan pembungkus produk produk popular dalam pasaran dan melihat sejauh mana respons daripada orang ramai.

Respons tersebut dilihat melalui 4 aspek iaitu;

1) Variasi rekaan asal
2) Variasi ringkas sahaja
3) Variasi yang lebih ringkas
4) Tiada logo

Apa pun, bagi Rekareka, ada juga baiknya sesetengah produk itu menggunapakai rekaan yang ringkas, supaya tampak lebih moden dan mudah diterima oleh golongan muda mudi. Tetapi, tidak salah juga jika rekaan yang penuh dengan illustrasi dan warna yang menarik digunapakai selagi mana ia mendapat rating tinggi daripada pengguna.

Jom kita lihat, seringkas mana pembungkus pembungkus ini yang telah direka semula oleh Mehmet Gohzetlik dari Antrepo.
























|