Selasa, 7 Januari 2014

SENI REKA - Pebble Appstore dan Pebble Steel Diluncurkan. Lebih Esklusif dan Matang.

Tahun baru bagi Pebble kali ini, 2014 diwarnai dengan beberapa pencapaian yang membanggakan. Pebble Appstore dan Pebble Steel diperkenalkan kepada khalayak buat pertama kalinya di CES 2014.



Pebble yang sebelum ini hadir dengan rekabentuk jam tangan pintar sporti dan nampak dikhususkan bagi pengguna muda mudi, bakal menambah portfolio penggunanya dengan Pebble Steel. Jika sebelum ini, ramai penggunanya menganggap Pebble sebagai jam sukan, yang hanya sesuai untuk dipakai ketika bermain ski, berbasikal serta beriadah, Pebble Steel akan merubah perspektif itu.

Dengan kerangka keluli tahan karat dan juga kaca Gorilla Corning, Pebble menjangkakan mereka dapat memikat lebih ramai golongan profesional untuk mencuba persekitaran jam tangan pintar ini seterusnya menetapkan penanda aras yang sepatutnya bagi peranti boleh pakai akan datang.

Ketika syarikat usahawan teknologi ini mula mula hadir dalam CES 2013 yang lepas, mereka memperkenalkan persekitaran aplikasi terbuka bagi para pembangun yang berminat untuk membangunkan aplikasi bagi Pebble.

Setelah setahun berlalu, dan hampir 300,000 orang pengguna Pebble di seluruh dunia. Permintaan dan keberadaan pelbagai aplikasi sudah pun membanjiri senarai aplikasi sedia ada. Oleh hal yang demikian, bagi memudahkan pengguna, dan menambahbaik servis mereka, aplikasi aplikasi yang sebelum ini dihoskan di laman web bebas seperti MyPebbleFaces dan AllPebble akan secara automatik dihoskan sendiri oleh Pebble melalui Pebble Appstore. 

Dengan produk baru dan sokongan rasmi kepada ratusan aplikasi menarik sedia ada, Pebble dijangka akan meningkatkan penguasaan pasaran peranti boleh pakai dan kadar penerimaan pengguna terhadap produk mereka.



Oh ya, jika anda ingin melihat, apa itu peranti boleh pakai dan juga produk produk sedia ada dalam pasaran, Rekareka ada menulis artikel berkenaan itu tidak berapa lama dahulu.

Sungguh, Samsung patut belajar dengan kegigihan dan tahap inovasi Pebble yang jauh meninggalkan Samsung Gear di belakang.

Pebble Steel akan mula dihantar kepada para pembeli terawal bermula 28 Januari ini dengan harga USD$249 / RM818 seunit. 

PEBBLE / PEBBLE STEEL












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|