Sabtu, 11 Januari 2014

SENI REKA - 11 Peranti Boleh Pakai Terhangat di CES 2014

Jika anda mengikuti perkembangan teknologi semasa secara rapat belakangan ini, antara faktor bentuk peranti yang popular dibangunkan adalah peranti boleh pakai (wearable devices), dan perkara ini boleh dilihat semasa CES 2014 yang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam.

Menurut penganalisa ekonomi, bagi pasaran teknologi boleh pakai, dijangkakan menjelang 2018, pasaran ini akan melonjak naik dengan nilaian hampir USD$18 bilion berbanding hanya USD$5 bilion pada tahun 2013. Oleh hal yang demikian, banyak usahawan teknologi baru dan juga syarikat besar sedia ada kini telah mula menjengah masuk dengan memperkenalkan peranti mereka sendiri.

Sudah menjadi kebiasaan dalam arena teknologi antarabangsa, bagi mendapatkan liputan publisiti yang optimum daripada komuniti dunia. Banyaknya peranti boleh pakai baharu ini, diperkenalkan kepada khalayak melalui acara tahunan teknologi yang terkenal iaitu CES (Consumer Electronics Show).

Pada artikel kali ini, Rekareka membawakan, rumusan 11 peranti boleh pakai terhangat yang telah diperkenalkan pada acara tersebut.

PEBBLE STEEL

Gambar: Getpebble.com / Pebble Steel

Pebble memperkenalkan siri baharu dalam keluarga Pebble mereka, iaitu Pebble Steel. Dibina dalam kerangka keluli tahan karat dan juga skrin kaca Corning Gorilla. Jam tangan pintar ini disasarkan pasarannya untuk pengguna yang mahukan jan tangan yang elegan walau dalam masa yang sama ia masih mengekalkan ciri pintarnya. Rekareka ada menulis artikel perihal peranti boleh pakai ini beberapa hari lepas.

KACA MATA XONE

Gambar: Tom's Guide / XOne Glass

Setelah Google meluncurkan Google Glass beberapa bulan lepas, banyak produk baru muncul dengan meniru ciri ciri yang sama yang ada pada Google Glass. Tapi banyaknya produk itu, tidak satu pun yang mencapai tahap piawaian Google. Berbeza dengan XOne, kaca mata ini dilengkapi dengan dua kamera beresolusi 5MP, giroskop, akselerometer, Pemacu Teras Pusat OMAP 4460, pembesar suara, mikrofon dan juga memori terbina dalam 128GB.

GELANG TANGAN NETATMO JUNE

Gambar: Netatmo.com / June

Sekali lihat, gelang tangan June ini kelihatan seperti gelang perhiasan biasa yang ada dalam pasaran. Namun begitu, jangan terkejut. June mampu merekodkan berapa banyak pancaran cahaya matahari yang diterima oleh pemakai sepanjang hari dan boleh mengesyorkan losyen pelindung mentari apa yang perlu dipakai. Semua data tersebut boleh disimpan dan diakses melalui aplikasi khas iOS mereka.

INTEL JARVIS

Gambar: Tomshw.it / Jarvis

Walaupun ia sekadar konsep sahaja. Jarvis merupakan fon kepala Bluetooth yang boleh dipadankan dengan peranti Android. Ia membolehkan anda melakukan kawalan suara terdapat peranti tersebut seperti apa yang ada pada Google Now dan Siri.

LG LIFEBAND TOUCH

Gambar: Mashable / Lifeband Touch

LG juga ingin menyertai perlumbaan peranti boleh pakai pintar masa kini. Oleh hal yang demikian, mereka juga meluncurkan produk baru mereka yang digelar Lifeband Touch. Dilengkapi dengan skrin OLED, peranti ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan Nike+ Fuelband. Bagi meluaskan prospek pasaran peranti ini, LG Lifeband Touch menyokong aplikasi kesihatan sedia ada seperti RunKeeper dan MyFitnessPal.

OCULUS CRYSTAL COVE

Gambar: PCMag.com / Oculus

Ini merupakan set kepala generasi kedua mereka yang diperkenalkan kepada khalayak. Jika sebelum ini, mereka menggunakan paparan LED. Oculus Crystal Cove kini mengguna pakai paparan OLED yang lebih jelas dan lebih bermutu. Disamping itu, ia dilengkapi juga dengan kamera luaran dan penjejak kedudukan yang membolehkan efek kedalaman sesuatu tempat kelihatan lebih sebenar.

RAZER NABU

Gambar: Digitaltrends.com / Nabu

Razer bukanlah nama asing dalam arena permainan video. Disamping menampilkan produk baru mereka dalam industri perkakasan permainan video, Razer juga hadir dengan peranti boleh pakai yang digelar Nabu. Nabu menggabungkan fungsi jam pintar dan juga penjejak kedudukan supaya pengguna boleh memakainya bagi merekodkan aktiviti seharian mereka dengan tepat. Ia juga boleh dipadankan dengan telefon pintar sedia ada yang terdapat dalam pasaran.

JAM TANGAN PINTAR INTEL

Gambar: Extremetech.com / Intel's Wearables

Intel sebelum ini jarang sekali menampilkan produk akhiran pada mana mana konvensyen teknologi dunia. Namun begitu, pada CES 2014 kali ini, mereka mengejutkan ramai pihak apabila mereka menampilkan prototaip jam tangan pintar mereka sendiri. Jam tangan pintar Intel ini berbeza dengan jam pintar sedia ada apabila ia tidak memerlukan padanan dengan mana mana telefon pintar bagi mencapai tahap fungsi penuh. Tidak hairanlah fungsi ini boleh dicapai kerana, Intel menggunakan cip mikro komputer kecil terbaru mereka iaitu - Edison di dalam peranti ini.

SARUNG TANGAN BEARTEK

Gambar: Beartekgloves.com / Beartek

Sarung tangan Beartek mampu mengawal fungsi fungsi sedia ada yang terdapat dalam peranti pintar anda dengan hanya membuat sambungan Bluetooth. Antara fungsi fungsi tersebut adalah, menjawab/ menolak panggilan, main/berhentikan muzik dan juga mengunci skrin. Sarung tangan ini dikhaskan bagi pengguna yang berada di kawasan sejuk seperti di kawasan pergunungan.

GEGELANG SONY CORE

Gambar: Liliputing.com / Sony Core

Gelang tangan Sony yang digelar Core ini  mampu merekodkan aktiviti seharian anda secara visual melalui aplikasi LifeLog mereka. Semua aktivit tersebut akan disusun dan dipaparkan kepada pengguna dalam bentuk garis masa mengikut kehendak pengguna. Core juga akan bergetar apabila pengguna menerima panggilan ataupun berada diluar jarak kawasan set bebas tangan mereka.

GARMIN VIVOFIT

Gambar: Wirefresh.com / Vivofit

Garmin terkenal dengan peranti GPS yang membantu ramai pemandu, nelayan dan juga pengembara dalam aktiviti pekerjaan mereka setiap hari. Namun begitu, nampaknya mereka juga tidak mahu ketinggalan dalam menyertai perlumbaan peranti boleh pakai dunia apabila meluncurkan Vivofit tempoh hari. Apa yang membezakan Vivofit dengan peranti boleh pakai kesihatan dan kecergasan yang lain adalah, Vivofit mampu belajar corak aktiviti senaman anda setiap hari lalu mencadangkan kepada anda jadual aktiviti apa yang sesuai untuk dilakukan aktiviti senaman akan datang. Garmin juga memaklumkan, Vivofit boleh dipadankan dengan monitor denyutan jantung bagi mendapatkan data yang lebih tepat berkenaan kecergasan anda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|