Isnin, 20 Januari 2014

REKA SEMULA - Bina Sendiri Termostat Janaan Wi-Fi Anda Seperti Nest

Bagi awal tahun ini dan tahun lepas, antara syarikat inovatif popular yang mendapat perhatian Google melalui produk ciptaan mereka adalah Nest. Baru baru ini, Nest telah pun dibeli secara bayaran tunai oleh Google dengan harga USD$3.2 bilion / RM10.6 bilion. Beberapa bulan lepas, Rekareka pernah menulis artikel berkenaan produk ini dan juga syarikat Nest yang dipelopori oleh Tony Fadell, bekas pereka bersama iPhone dan iPod.

Setelah berita pembelian Nest tersebar, perkara yang menjadi persoalan utama adalah, adakah Google selepas ini akan mula menceburi pula sistem teknologi automasi rumah? yang mana pasaran ini juga mempunyai prospek yang amat besar jika ia dapat diintegrasikan secara menyeluruh dengan sistem Android.



Untuk pengetahuan anda, dengan suatu pendekatan inovasi yang lain daripada yang lain ini, tanda harga yang diletakkan pada Nest Protect adalah sekitar USD$129 / RM428 seunit, manakala untuk Nest Thermostat pula adalah USD$249 / RM826 seunit, yang mana jika dibandingkan dengan produk sedia ada dalam pasaran, tanda harga tersebut adalah agak mahal sebenarnya.

Oleh hal yang demikian, suatu kumpulan kolektif yang menggelar diri mereka Spark (pengeluar modul Wi-Fi bagi Arduino), telah cuba untuk meniru dan mereka semula konsep termostat ini dengan menggunakan perkakasan sumber terbuka mereka dan juga, sudah tentunya dengan harga yang lebih murah.

Dengan hanya menelan kos sebanyak USD$70 / RM233, Spark telah pun berjaya mencapai sasaran awal tersebut. Untuk memudahkan projek DIY mereka ini, kayu silinder yang ditebuk bahagian tengahnya dijadikan sebagai kerangka utama termostat ini.  Manakala, paparannya pula diperbuat daripada Perspex dengan rangkaian matrik LED.

Hasilnya, sebuah termostat yang boleh dihubungkan terus melalui Wi-Fi rumah anda lalu, boleh pula dikawal menggunakan suatu aplikasi mudah yang boleh diakses melalui pelayar web biasa.

Apa yang menarik, ciri ciri asas yang terdapat pada Nest juga boleh dimimik pada termostat DIY ini. Antara ciri tersebut adalah, kebolehan untuk mengesan keberadaan pengguna dalam premis tersebut dan juga akses melalui putaran tombol bagi pengguna yang mahu mengubahnya secara manual.

Untuk memudahkan anda mencuba projek ini sendiri di rumah, semuanya telah pun didokumentasikan di GitHub dan boleh dimuat turun secara percuma. Sesuai untuk projek hari Ahad akan datang!

SPARK - TERMOSTAT SUMBER TERBUKA










SUMBER 1
SUMBER 2
SUMBER 3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|