Rabu, 29 Januari 2014

PERISIAN - Sunrise Calendar. Kalendar Kolektif Dinamik untuk iOS

Sedia maklum bagi pengguna iOS, kalendar yang diberikan antaramuka baru pada versi iOS 7 ini agak kelihatan terlampau ringkas dan kadangkala tidak begitu efisien penggunaannya jika dibandingkan dengan kalendar terdahulu. Pernahkah anda terlepas pandang sesuatu aktiviti atau majlis yang sepatutnya anda hadiri disebabkan terlalu banyak kalendar  (Google, Yahoo, Facebook) disatukan ke dalam kalendar iOS?



Bagi pengguna Android, masalah ini telah pun selesai dengan aplikasi SolCalendar yang pernah Rekareka ulas beberapa bulan lepas. Namun begitu, pada artikel kali ini, Rekareka ingin memperkenalkan Sunrise Calendar. Sebuah aplikasi kalendar kolektif dinamik khusus untuk iOS.

Dengan kemas kini antaramuka baharu yang menepati konsep iOS 7, Sunrise Kalendar didatangkan dengan ciri ciri menarik seperti kemas kini data kalendar pada masa langsung, integrasi kalendar sedia ada anda (Google, iCloud, Facebook), mendapatkan panduan perjalanan melalui Google Maps, daftarkan lokasi bersama aktiviti dan juga penyerasian zon masa.

Selain daripada itu, apa yang menariknya adalah, apabila anda mendaftarkan lokasi bersama aktiviti pada kalendar anda, Sunrise Calendar akan menyertakan sekali maklumat ramalan kaji cuaca di kawasan tersebut. Jadi, jika anda ada perancangan untuk berkelah di kawasan air terjun Ulu Yam pada tarikh yang tertentu, aplikasi ini akan memberitahu anda ramalan keadaan cuaca pada hari itu di kawasan tersebut.

Bagi ciri janji temu pula, aplikasi menarik ini akan cuba untuk mencari biodata dan gambar orang yang akan anda temui itu di laman web LinkedIn seterusnya memberikan sedikit sebanyak idea bagaimana untuk berbual pada janji temu tersebut.

Sunrise Calendar kini boleh dimuat turun di App Store melalui iPhone dan iPad anda.

SUNRISE CALENDAR





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|