Khamis, 30 Januari 2014

PERISIAN - Paper. Aplikasi Seumpama Facebook daripada Facebook

Hari ini, Facebook baru sahaja memperkenalkan aplikasi baru keluaran mereka sendiri yang digelar Paper. Mengambil konsep aplikasi pembacaan suapan berita seperti Flipboard, Paper nampaknya menampilkan beberapa tambahan pada konsep tersebut yang menjadikan ia seperti aplikasi sedia ada Facebook tetapi 100% berbeza.



Dijadual akan dilancarkan pada 3 Februari ini bagi pengguna iPhone di Amerika Syarikat sahaja, Paper menggunakan suapan berita daripada akaun Facebook dan menyusunnya dalam bentuk kad kad kecil secara mendatar untuk tatapan pengguna. Selain daripada itu, Paper juga dibekalkan dengan fungsi muat naik status yang baru yang menggunapakai pendekatan WYSIWYG

Rekareka percaya, sebab mengapa aplikasi ini hanya diperkenalkan bagi pengguna di Amerika Syarikat sahaja, buat masa ini adalah kerana, jumlah pengguna Facebook seluruh dunia kini mencecah berbilion orang. Oleh hal yang demikian, sebarang penukaran konsep aplikasi haruslah diuji secara menyeluruh dahulu sebelum diperkenalkan secara massa.

Namun begitu, jika iPhone anda sudah pun di Jailbreak, maka mungkin dalam masa terdekat, fail .ipa Paper boleh ditemui di Internet.

Untuk pengetahuan anda, Paper adalah produk pertama keluaran Facebook Creative Labs yang diwujudkan khusus untuk kajian dan pembangunan inovasi baru di dalam ruang syarikat Facebook itu sendiri. Menurut pengurus produk ini, Michael Reckhow, Paper adalah cerminan apa yaang diperkatakan tempoh hari oleh Mark Zuckerberg - "Pengalaman baharu dalam penglibatan pengguna terhadap peranti mudah alih".

PAPER OLEH FACEBOOK








SUMBER // THE VERGE


SENI REKA - Gunakan Kincir Angin Mikro untuk Mengecas Telefon Anda

Konsep rumah kincir telah pun lama dahulu digunakan oleh manusia untuk mengolah tenaga angin atau air bagi mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh, kincir angin digunakan oleh orang Greek untuk menggerakkan mesin manakala orang empayar Babylon pula menggunakan ia untuk sistem pengairan tanaman mereka pada kurun ke 17 BC.




Pada zaman kini, kincir angin masih lagi digunakan oleh beberapa negara untuk menjana tenaga elektrik bagi kegunaan setempat, seperti contoh di negara kita, kincir angin digunakan di Pulau Tioman bagi menjana bekalan elektrik disitu.

Bertempat di University of Texas, Arlington, Amerika Syarikat. Professor J.C. Chiao dan juga Dr. Smitha Rao telah mengolah dan mencipta cara penggunaan baharu bagi kincir angin. Apa yang menarik, kincir angin ini bersaiz amat kerdil dan boleh dikategorikan dalam saiz mikro. Menurut mereka lagi, teknologi ini boleh digunakan untuk mengecas peranti mudah alih pengguna dengan hanya menggunakan angin.

Tidak seperti rekaan kincir angin yang lain yang memang kita tahu perlu direka besar untuk mengolah tenaga angin secara efisien, kincir angin yang mempunyai bentuk inspirasi daripada Van Gough ini hanyalah bersaiz 1.8mm. Bilahnya yang kecil itu pula diperbuat daripada gabungan keluli nikel serta bahan moden Sistem Mikro Elektromekanikal (MEMS) yang selalu boleh didapati dalam pembuatan peranti pintar elektronik masa kini.

Walaupun konsep kincir angin mikro ini masih dalam fasa prototaip, namun menurut mereka apabila sudah 100% dibangunkan kelak, ia mampu menggantikan bateri mudah alih yang anda selalu bawa itu untuk mengecas telefon anda.

Dengan maklumat dan akses kepada teknologi ini, pelbagai kegunaan yang sebelum ini mustahil untuk dicapai disebabkan had waktu tenaga elektrik boleh di atasi dengan mudah.




RUJUKAN // GIZMAG

REKA SEMULA - Konsep Antaramuka Google oleh Gorka Corral

Semenjak Google dilancarkan pada tahun 1998, ia telah mengalami beberapa perubahan total pada rekaan antaramukanya, dan baru baru ini dengan kehadiran Android serta Chrome OS dalam portfolio perniagaan mereka, Google nampaknya hadir dengan rekaan antaramuka rentas platform yang lebih ringkas, minimal dan moden.

Penggunaan antaramuka Google yang anda boleh lihat kini boleh dikatakan adalah yang terbaik pernah direka oleh Google. Namun begitu sudah menjadi kebiasaan para pereka di Behance untuk mengolah rekaan antaramuka sedia ada dengan konsep mereka sendiri.

Gorca Corral, seorang pereka grafik dari San Sebastian, Spain telah memuat naik rekaan semula antaramuka Google menurut pandangan dan konsep beliau sendiri. Walaupun pendekatan minimal dan kumpulan warna masih dikekalkan, namun beliau telah memberi nafas baru yang lebih segar pada reka letak dan susun atur komponen Google.

Menarik bukan?


Rabu, 29 Januari 2014

PERISIAN - Sunrise Calendar. Kalendar Kolektif Dinamik untuk iOS

Sedia maklum bagi pengguna iOS, kalendar yang diberikan antaramuka baru pada versi iOS 7 ini agak kelihatan terlampau ringkas dan kadangkala tidak begitu efisien penggunaannya jika dibandingkan dengan kalendar terdahulu. Pernahkah anda terlepas pandang sesuatu aktiviti atau majlis yang sepatutnya anda hadiri disebabkan terlalu banyak kalendar  (Google, Yahoo, Facebook) disatukan ke dalam kalendar iOS?



Bagi pengguna Android, masalah ini telah pun selesai dengan aplikasi SolCalendar yang pernah Rekareka ulas beberapa bulan lepas. Namun begitu, pada artikel kali ini, Rekareka ingin memperkenalkan Sunrise Calendar. Sebuah aplikasi kalendar kolektif dinamik khusus untuk iOS.

Dengan kemas kini antaramuka baharu yang menepati konsep iOS 7, Sunrise Kalendar didatangkan dengan ciri ciri menarik seperti kemas kini data kalendar pada masa langsung, integrasi kalendar sedia ada anda (Google, iCloud, Facebook), mendapatkan panduan perjalanan melalui Google Maps, daftarkan lokasi bersama aktiviti dan juga penyerasian zon masa.

Selain daripada itu, apa yang menariknya adalah, apabila anda mendaftarkan lokasi bersama aktiviti pada kalendar anda, Sunrise Calendar akan menyertakan sekali maklumat ramalan kaji cuaca di kawasan tersebut. Jadi, jika anda ada perancangan untuk berkelah di kawasan air terjun Ulu Yam pada tarikh yang tertentu, aplikasi ini akan memberitahu anda ramalan keadaan cuaca pada hari itu di kawasan tersebut.

Bagi ciri janji temu pula, aplikasi menarik ini akan cuba untuk mencari biodata dan gambar orang yang akan anda temui itu di laman web LinkedIn seterusnya memberikan sedikit sebanyak idea bagaimana untuk berbual pada janji temu tersebut.

Sunrise Calendar kini boleh dimuat turun di App Store melalui iPhone dan iPad anda.

SUNRISE CALENDAR





Ahad, 26 Januari 2014

SENI BINA - Rekaan Dalaman SOHO Ugmonk Yang Ringkas dan Kemas

Menggerakkan perniagaan label pakaiannya, Ugmonk secara langsung dari pejabat yang terletak dalam rumahnya. Jeff Sheldon merupakan seorang artis dan pereka grafik yang menjual pelbagai produk rekaannya bermula daripada siri pakaian sehinggalah kepada buku nota.



Kebanyakkan masa beliau dihabiskan di pejabat tersebut dimana tugas tugas seperti mereka rekaan baru, menjawab pertanyaan pelanggan dan menguruskan transaksi jual beli dilakukan di situ. Apa yang menarik, sejajar dengan hasil kerja rekaan beliau, susun atur dan reka letak pejabat tersebut sungguh cantik, ringkas dan teliti.

Apa kata, anda cuba ambil inspirasi SOHO Jeff ini dan aplikasikan ia di pejabat anda pula? Mengujakan!

UGMONK




























SENI REKA - Higher. Rekaan Muka Taip yang Panjang (Pecuma)

Higher merupakan satu jenis muka taip yang direka oleh Marisa Pasos yang berasal dari Braga, Portugal. Muka taip yang mengambil rupa bentuk panjang dan ringkas ini dicipta khusus untuk projek pembelajarannya.

Diluncurkan di laman Behance kepunyaannya, Higher merangkumi semua abjad A hingga Z dan juga nombor 1 hingga 0. Apa yang paling penting, ianya boleh dimuat turun 100% percuma.

HIGHER










Sabtu, 25 Januari 2014

SENI REKA - Berapa Banyakkah Kandungan Sebenar Storan Telefon Anda?

Jika anda masih ingat sekitar 10 tahun lepas, ciri untuk menambah kad memori SD pada telefon bimbit adalah suatu yang amat diperlukan dan boleh dikategorikan sebagai canggih. Tidak kiralah sama ada untuk menyimpan koleksi MP3 atau pun gambar yang diambil menggunakan kamera telefon tersebut. Pada ketika itu, Nokia dan Sony Ericsson adalah dua gergasi utama dalam dunia telefon bimbit.



Selang beberapa tahun selepas kehadiran telefon pintar dalam pasaran dunia - sekitar 2008, ciri ini masih lagi dikekalkan pada awalnya, terutamanya pada telefon pintar Android dimana ciri ini amat disukai oleh para pembangun dan mereka yang gemar untuk memasang ROM yang lain daripada yang asal (CynogenMod, AOKP ataupun MIUI)

Namun begitu, beberapa hari lepas Which! telah memuat naik satu penerangan ringkas perihal kandungan sebenar storan yang ada pada telefon pintar masa kini. Seperti contoh, iPhone 5C, Nexus 5 dan iPhone 5S merupakan telefon pintar yang paling banyak mempunyai storan yang boleh diguna pengguna selepas semua perisian asal dipasang.

Manakala, Samsung Galaxy S4 pula adalah telefon pintar paling sedikit meninggalkan kandungan storan yang boleh diguna, namun begitu disebabkan ia masih lagi mempunyai ciri slot kad memori SD maka, masalah ini boleh diatasi dengan tambahan kad mengikut kehendak pengguna.


Kemanakah memori tadi pergi walaupun anda baru membeli telefon anda? Sebenarnya, ruang memori tadi telah pun dipakai oleh sistem operasi telefon pintar itu sendiri yang terpasang di dalamnya.

Bagi pengetahuan anda, dalam banyak banyak telefon tersebut, Samsung Galaxy S4 merupakan telefon yang paling banyak dipasang dengan perisian yang agak berat penggunaan memorinya. Seperti antaramuka Touchwiz dan ciri penjejak bola mata yang mana merupakan ciri yang paling banyak mengambil ruang dalam memori terbina dalam Galaxy S4 (serta paling kuat menggunakan kuasa bateri).


|