Selasa, 3 Disember 2013

SENI REKA - Kit DIY Konsol Permainan Janaan Arduino

Jika anda pernah berangan angan untuk mereka dan memasang konsol permainan anda sendiri, kini impian anda itu boleh dicapai dengan kit DIY ini. Sebuah syarikat yang beribu pejabat di kota London, Technology Will Save Us, telah mereka bentuk satu kit DIY mudah yang mengintegrasikan Arduino dan beberapa komponen penting lain khusus untuk anda yang gemarkan eksperimentasi.

Dengan kit DIY ini, anda boleh mereka, membina dan memprogramkan permainan anda sendiri menggunakan Arduino serta beberapa perisian yang disediakan sekali. Selain daripada itu, ia juga turut disertakan dengan butang kawalan klasik, pembaz (buzzer) yang membolehkan muzik dimuat naik dalam projek permainan anda dan juga modul infra merah tanpa wayar untuk sambungan dengan pemain lain (Ya, konsol ini menyokong mod pemain berganda)

Menurut Technology Will Save Us, kit ini boleh dipasang dan disiapkan dalam masa dua jam, bergantung kepada tahap kemahiran anda. Namun begitu, untuk memudahkan pengguna, syarikat ini telah menyediakan tutorial dalam bentuk video yang akan mengajar pengguna bagaimana untuk memasang kit ini.



Manual dalam bentuk dokumen juga turut diberi untuk menerangkan kepada pengguna perihal kemahiran elektronik, pemahaman bagaimana sensor dan mikropengawal berfungsi, bagaimana untuk memateri, mengaturcara Arduino, kemahiran prototaip, kemahiran kreatif komputer serta mekanik permainan.

Menurut mereka lagi, tujuan utama kit DIY ini dikeluarkan adalah untuk menggalakkan pemahaman pengguna terhadap pengaturcaraan komputer terutamanya di atas platform Arduino dan permainan video.

DIY GAMER KIT









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|