Sabtu, 14 Disember 2013

REKA SEMULA - Windows 8, Suatu Pandang Semula oleh Jay Machalani

Seorang pereka UI/UX bernama Jay Machalani dari Canada sangat menyukai Windows 8 hinggakan kesemua komputer kepunyaannya dipasang dengan sistem operasi itu. Apabila Windows 8 diperkenalkan kepada umum pada Oktober 2012 yang lepas, ia adalah sistem operasi Windows yang mengalami satu anjakan paradigma radikal daripada segi rekaan antaramukanya jika dibandingkan dengan versi versi yang lepas.



Ramai daripada kita, sama ada menyukai atau kurang menyukainya terpaksa menerima perubahan ini, terutamanya jika anda memiliki komputer keluaran pasca 2012. Oleh hal yang demikian, komuniti pereka pereka bebas telah cuba hadir dengan rekaan antaramuka yang lebih menarik dan dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri Metro yang ada pada Windows 8; dengan harapan dapat mengubah pemikiran Microsoft.



Walaupun begitu, terdapat khabar berita bahawa Microsoft sendiri akan meninggalkan projek Windows 8 ini, dan cuba beralih kepada Windows 9 yang dijangka akan mengetengahkan konsep yang baru. Bertitik tolak daripada itu, Jay Machalani cuba menarik perhatian ramai (terutamanya Microsoft) untuk berfikir sejenak tentang konsep apa yang mereka patut sediakan kepada pengguna kelak.






Konsep yang dibawakan oleh Jay ini, memperkenalkan semula butang yang paling popular dalam siri Windows iaitu butang Start, dengan beberapa penambahbaikan baru dan ciri ciri menarik. Jika anda seorang pengguna Windows 8, pasti anda tahu bagaimana perasaan betapa lecehnya untuk mengakses pilihan aplikasi - daripada Desktop kepada  Live Tiles. Oleh itu, Jay cuba mengintegrasikan Live Tiles tadi terus kepada menu butang Start.


Bagi saya, Jay sendiri, melalui rekaannya, telah berjaya membawakan konsep yang Microsoft sendiri telah gagal dalam percubaan mereka - Windows 8. Mendapat pujian dan sokongan ramai, video demonstrasi bagaimana antaramuka baru ini beroperasi menunjukkan betapa mudah ia boleh diaplikasikan dengan kadar segera oleh Microsoft.

*semasa artikel ini ditulis, Microsoft baru sahaja mengumumkan untuk memperkenalkan semula butang Start dalam siri kemas kini akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|