Isnin, 30 Disember 2013

SENI REKA - Ninja Sphere. Alat Kawalan Serbaguna Pintar Untuk Rumah Anda

Pilihan alat sekuriti sedia ada dalam pasaran kini, walaupun boleh dikatakan sudah matang, masih tidak dapat memberikan anda kawalan penuh terhadap semua parameter yang ada dalam rumah atau premis anda. Kadangkala, walaupun nampak pintar, tetapi harganya yang mahal dan dan tidak mesra peranti pintar membuatkan produk produk sedia ada tersebut kurang diterima dalam masyarakat.

Sebuah syarikat yang berasal dari Sydney, Australia yang menggelar diri mereka Ninja Blocks, baru baru ini, telah berjaya mencipta suatu peranti sekuriti serbaguna yang mempunyai fungsi hampir 100% mampu mengawal segala parameter yang ada di dalam sesuatu premis itu.



Dengan ciri dan fungsi terbina dalam, seperti lampu LED, sokongan WiFi dan Bluetooth, peranti ini boleh digunakan pada masa langsung untuk menjejak apa apa parameter yang diingini. Antara contoh yang disaranakan oleh mereka adalah seperti, haiwan peliharaan mahupun peralatan elektronik kegemaran anda yang mempunyai potensi untuk dicuri tanpa anda sedari.

Semua perkara itu boleh direalisasikan dengan hanya melekatkan atau memasang tag bluetooth sedia ada dalam pasaran (seperti Chipolo) pada parameter parameter tadi untuk sentiasa dijejaki dalam radius kawasan rumah anda.

Selain daripada itu, Ninja Sphere ini juga membantu anda dalam proses mengurus rumah, terutamanya perkara yang berkaitan dengan peralatan elektrik dan elektronik. Seperti contoh, anda boleh sahaja menghidupkan pendingin hawa sejam sebelum anda sampai dirumah, ataupun ketika anda berada di kampung halaman ketika musim cuti, anda boleh menghidupkan lampu utama rumah anda secara terus dari kampung pada bila bila masa untuk menghindar sebarang cubaan untuk pecah rumah.

Apa yang menarik, peranti ini dilesenkan dibawah sumber terbuka, dan ini memberi maksud, pengguna boleh mengatur Ninja Sphere untuk berfungsi dan berhubung dengan apa apa peranti sedia ada melalui perantara WiFi ataupun Bluetooth.

Sehingga kini, Ninja Sphere sudah pun melangkaui sasaran awal mereka untuk mendapat sokongan daripada komuniti pendanaan khalayak Kickstarter. Sasaran mereka pada awalnya adalah hanya sebanyak AUD$115,000.00, tetapi disebakan prospek peranti ini yang begitu luas untuk diteroka, mereka telah pun berjaya mengutip sokongan sehingga AUD$430,500.00.

Ninja Sphere dijangka akan mula berada dalam pasaran atas talian menjelang Jun 2014.

NINJA SPHERE / NINJA BLOCKS
















Sabtu, 28 Disember 2013

SENI BINA - Ruang Dalaman Ibu Pejabat Dropbox di San Francisco

Pasti ramai daripada kita yang mana sebelum popularnya Google Drive, pernah menjadikan Dropbox sebagai pilihan utama Storan Awan masing masing. Baru baru ini, dengan keluasan 70,000 kaki persegi, Dropbox telah pun merasmikan pejabat baru mereka yang terletak di San Francisco. Ibu pejabat ini, mengintegrasikan rekaan yang fleksibel dan modular sesuai dengan keupayaan syarikat ini yang sentiasa berkembang saban tahun.

Jika anda pernah membaca artikel berkenaan Ibu Pejabat Twitter, Square dan Instagram sebelum ini, apa yang membezakan pejabat Dropbox adalah, ruang dalamannya yang sengaja direka luas dan terbuka. Walaupun tampak lapang dan cuba lari dari konsep kubikel konvensional, ia sebenarnya untuk membolehkan para kakitangan di pejabat untuk berinteraksi dengan lebih aktif sesama sendiri.

Ia seperti sudah menjadi kewajipan untuk pejabat syarikat syarikat usahawan teknologi masa kini untuk menyediakan sekali kemudahan kemudahan asas yang menyeluruh kepada kakitangan mereka. Begitu juga dengan pejabat rekaan Geremia Design dan Boorbridges ini, ia turut dilengkapi dengan zon mesyuarat, stesyen kerja terbuka, ruang bersosial, ruang temuduga, bilik perbincangan, bilik persidangan, pantri dan tempat melepak.












SUMBER 1
SUMBER 2


Jumaat, 27 Disember 2013

PERISIAN - OpenEMU. Main Permainan Video Klasik di Mac Anda (Versi Stabil!)

Sehingga ke hari ini, boleh dikatakan OpenEMU adalah perisian pelagak (emulator) terbaik yang pernah ada dalam persekitaran Mac OS. Selain itu, disebabkan emulator ini menyokong hampir 12 sistem permainan klasik terdahulu, mustahil bagi anda berasa cepat jemu dikala kebosanan melanda.


Sumber: Youtube - James Wagner

Jika anda seorang yang biasa dengan perisian pelagak seperti ini, anda pasti tahu bahawa kelemahan utama emulator emulator sedia ada adalah dari segi cara penggunaannya yang rumit, ditambah pula susun atur antaramukanya yang tidak mesra pengguna akhir.

Namun begitu, dengan kehadiran OpenEMU dalam pilihan sedia ada ini, ia mengubah 100% persepsi tersebut. Direka dengan antaramuka yang ringkas dan kemas, OpenEMU nampaknya amat mudah untuk digunakan oleh pengguna, tidak kira sama ada anda pengguna baru atau yang sudah lama menikmati permainan video klasik menggunakan komputer.

Antara dua belas sistem permainan klasik terdahulu yang disokong oleh OpenEMU adalah Game Boy, Game Boy Advance, SNES, Nintendo DS dan juga Sega.

Jika ada dalam kalangan anda yang berhajatkan untuk bermain semula permainan yang dahulu pernah popular di Playstation atau Nintendo 64 seperti Crash Bandicoot ataupun Pepsiman. Jangan risau! pembangun OpenEMU menyatakan bahawa mereka sedang bekerja untuk menyokong dua platform lagenda tersebut.

Selain daripada itu, antara kelebihan paling utama dan ketara pada OpenEMU adalah, kemampuannya untuk menyokong pelbagai alat kawalan platform sedia ada konsol permainan video anda. Ini termasuklah Dualshock 3 (Bluetooth), Wii Remote (Bluetooth) ataupun alat kawalan PS4 (Micro USB).

OpenEMU







SENI REKA - Airtame. Alternatif Kepada Peranti Pencerminan HDMI Sedia Ada.

Menggelar produk dan nama syarikat mereka sebagai Airtame, produk yang berasal daripada Belanda ini agak serupa dengan Google Chromecast dan juga Apple TV. Namun begitu, perbezaan yang ketara pada produk mereka adalah ia telah "dibebaskan" daripada nama nama besar dan juga memberikan kawalan penuh kepada pengguna untuk melakukan pencerminan paparan tanpa wayar dari apa apa peranti sekalipun.

Airtame telah direka dan dibangunkan oleh kumpulan yang terdiri daripada 6 orang pakar dalam bidang masing masing. Hasil sinergi ini, Airtame dibentuk menjadi suatu peranti pencerminan paparan yang menggabungkan konsep anak kunci HDMI dan perisian khas yang perlu dipasang pada komputer anda.



Anak kunci HDMI Airtame akan memancarkan isyarat WiFi apabila dipasangkan pada mana mana peranti yang mampu menerima input HDMI seperti TV LED, projektor dan komputer. Isyarat yang dikeluarkan oleh anak kunci HDMI ini pula akan diterima sebagai isyarat LAN oleh perisian khas yang telah dipasang tadi.

Apa yang menarik dan berbeza, dengan Airtame, anda bukan sahaja boleh melakukan pencerminan paparan skrin pada skrin LED atau projektor, malah proses ini boleh dilakukan dengan mana mana peranti yang boleh dipasangkan dengan perisian khas Airtame, seperti komputer rakan rakan anda. Ini termasuklah input dan output video serta audio!.

Selain itu, apa yang menyebabkan ia lain daripada yang lain adalah, Airtame mampu berfungsi dengan kebolehan rentas platform sama ada Mac OSX, Windows mahupun Linux. Tambahan pula, baru baru ini, Airtame telah mengumumkan sokongan perisian khas untuk komputer mini - Raspberry Pi!

Buat masa ini, Airtame sudah pun berada 50% dalam tempoh masa kempen yang dikhususkan pada laman web pendanaan khalayak Indiegogo. Walaupun baru setengah daripada keseluruhan perjalanan kempen, Airtame sudah pun mengutip sokongan hampir 300% daripada sasaran asalnya.

Menarik bukan?

AIRTAME



















Khamis, 26 Disember 2013

SENI REKA - Smartphone Case 'N'. Prototaip Beg Udara Telefon Pintar daripada Honda. Janaan Arduino!

Skrin sesentuh retak dan pecah akibat daripada impak jatuh dari tempat tinggi merupakan mimpi ngeri bagi semua pemilik telefon pintar. Terutamanya, mereka yang memiliki telefon pintar berskrin besar.



Namun begitu, ada berita baik buat semua pemilik telefon pintar. Mungkin dalam masa 5 tahun akan datang, masalah ini tidak lagi membelenggu anda. Jika sebelum ini, Rekareka pernah membawakan artikel berkenaan beg udara khusus bagi penunggang basikal, tetapi baru baru ini, pusat kajian dan pembangunan Honda telah berjaya membangunkan prototaip awal beg udara khusus untuk telefon pintar.

Walaupun ini bukanlah kali pertama idea beg udara khusus buat peranti mudah alih diutarakan (sebelum ini Sony dan Amazon, masing masing mematenkan idea ciptaan yang sama). Hanya Honda sahaja yang benar benar merealisasikan idea ini melalui penghasilan prototaip awal mereka.



Jika anda amati video dokumentari pendek berkenaan beg udara ini, anda pasti dapat lihat, Arduino Nano merupakan antara komponen utama perkakas ini disamping tangki Karbon Dioksida, sensor graviti dan juga bateri.

Apabila sensor pengesan mengesan pegerakan laju disebabkan oleh tarikan graviti, ia akan menghantar isyarat kepada Arduino Nano tadi untuk diproses, lalu gas karbon dioksida tadi akan terus dipam ke beg udara untuk dikembangkan. Proses ini berlaku dalam masa yang amat pantas.

Buat masa ini, prototaip ini masih dalam fasa konsep dan kajian lagi, dan mungkin tidak akan berada dalam pasaran untuk masa yang terdekat. Namun begitu, seperti kebiasaannya, apabila produk akhir dikeluarkan kelak, saiznya yang besar itu  pasti akan dikecilkan untuk memudahkan pengguna.

HONDA - CASE 'N'













Selasa, 24 Disember 2013

SENI REKA - Birdi. Pengesan Asap Pelbagai Guna kini di Indiegogo!

Kehadiran asap adalah salah satu tanda awal yang boleh memberitahu kita bahawa kebakaran akan berlaku. Seperti kebiasaannya, pengesan asap berfungsi dengan memberi amaran kepada pengguna dengan membunyikan penggera sejurus asap dapat dikesan.

Beberapa minggu lepas, Rekareka pernah menulis artikel berkenaan penggera asap pintar rekaan bekas pereka Apple iaitu Nest Protect. Namun pada artikel kali ini, ada lagi sebuah penggera asap pintar yang sedikit berbeza pendekatannya iaitu - Birdi.

Sudah menjadi kebiasaan kepada para pereka cipta seantero dunia untuk memohon sokongan kewangan dan publisiti melalui laman laman web pendanaan khalayak seperti Indiegogo, Kickstarter dan Crowdsupply. Dimana melalui cara ini, mereka akan dapat menyampaikan idea dan visi mereka melalui produk yang mereka ingin ketengahkan.

Seringkali, penciptaan produk baru bermula dengan masalah dan keperluan manusia, dan dalam konteks penciptaan Birdi, ia bermula dengan Taufan Sandy.



Menurut salah seorang daripada pengasas penggera asap pintar ini, Mark Belinsky. Birdi merupakan cetusan idea yang beliau peroleh apabila neneknya sendiri berada dalam zon evakuasi ketika tragedi Taufan Sandy tidak berapa lama dahulu. Apabila beliau sudah sampai ke rumah neneknya, beliau mendapati, neneknya memanaskan rumah dengan menggunakan api daripada gas dapur (salah satu penyebab keracunan karbon monoksida secara senyap, terutama dalam ruang tertutup).

Walaupun rumah neneknya mempunyai penggera yang dilengkapi pengesan asap dan karbon monoksida, tidak ada satu cara langsung pun, pengesan asap ini dapat memberitahu beliau ataupun ahli keluarga terdekat tentang bahaya yang mungkin akan berlaku kelak. Di situlah bermulanya cetusan idea Birdi.

Birdi berfungsi dengan sambungan Internet melalui WiFi dan talian telefon rumah pengguna. Jika dalam situasi bahaya, Birdi mampu membuat panggilan kecemasan melalui telefon konvensional dengan menggunakan telefon rumah sedia ada. Panggilan ini boleh ditetapkan nombornya dan bahasanya oleh pengguna sendiri.

Selain daripada itu, perbezaan Birdi yang membuatkan Nest Protector tidak berada dalam kelasnya tersendiri adalah dengan beberapa fungsi tambahan iaitu, ia mampu mengesan beberapa parameter yang lain seperti tahap kelembapan, peratusan habuk dan juga tahap pencemaran dalam sesuatu bilik itu.

Dengan kemampuan ini, Birdi disasarakan pasarannya untuk pemantauan jarak jauh bagi rumah rumah yang didiami warga emas (seperti kisah pengasasnya tadi). Namun begitu, Birdi juga boleh dipasangkan dirumah anda sendiri untuk proses pemantauan jarak jauh yang sama.

Buat masa ini, Birdi baru sahaja beberapa hari dilancarkan di Indiegogo untuk meraih sokongan kewangan dan publisiti daripada pengguna Internet. Sehingga hari ini, Birdi sudah mecatatkan hampir 50% daripada sasaran sokongannya.

BIRDI

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com

Gambar: canarydetector.com


|