Rabu, 20 November 2013

SENI REKA - Hövding. Beg Udara Untuk Penunggang Basikal!

Pertama kali saya terlihat konsep beg udara untuk pengguna basikal yang digelar Hövding ini adalah ketika melayari laman Vimeo sekitar tahun 2012 yang lepas. Ketika itu, projek Hövding ini masih dalam fasa percubaan dan eksperimentasi. Namun begitu, setelah beberapa bacaan yang saya lakukan, rupa-rupanya, projek Hövding ini telah pun dimulakan seawal tahun 2005, ketika itu hanyalah untuk projek thesis Sarjana sahaja!



Diilhamkan oleh konsep daripada Anna Haupt dan Terese Alstin, Hövding adalah sejenis beg udara automatik yang akan mengembang ke saiz penuhnya hanya dalam 0.1 saat sebelum kepala pengguna jatuh ke tanah. Ia dikuasakan oleh penjana gas kecil terbina dalam yang akan menerima isyarat daripada sensor khas. Sensor ini boleh mengesan pergerakan pengguna basikal yang akan jatuh menerusi algoritma yang dikaji khusus berdasarkan pergerakan umum seseorang penunggang basikal. Untuk menambahkan lagi ketepatan beg angin ini berfungsi, sensor ini juga boleh mengesan  sebarang perubahan halaju dan juga darjah struktur badan penunggang.



Beg udara Hövding direka dalam bentuk seumpama kolar yang dipakai dileher semasa anda menunggang basikal, oleh itu dari segi fesyen dan gaya, beg udara Hövding ini sememangnya tampak kemas dan tersembunyi.

Namun begitu, walaupun rekaannya penuh dengan gaya sofistikated, ia mempunyai tahap keselamatan dan perlindungan yang lebih tinggi daripada helmet biasa. Menjalani proses penyelidikan dan pembangunan selama 7 tahun, beg udara Hövding ini dibuat sepenuhnya di Sweeden dan mematuhi syarat syarat keselamatan Kelengkapan Perlindungan Peribadi Kesatuan Eropah.

Beg udara Hövding telah pun mula dijual mulai semalam di laman web rasmi mereka. Anda boleh mula membuat pesanan dengan harga USD$540 ataupun RM1720 seunit.

HÖVDING











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

|