Khamis, 31 Oktober 2013

SENI REKA - Projek Poppy. Robot Cetakan 3D Janaan Raspberry Pi

Asalnya Poppy telah direka untuk kegunaan projek kajian gerak alih biped (berkaki dua), serta digunakan untuk mengkaji fizikal bentuk tubuh dan interaksi antara manusia dan robot.



Direka oleh Flowers Lab, Poppy telah distatuskan sebagai sumber terbuka, disamping boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran dan seni kontemporari. Sebagai projek sumber terbuka, sememangnya Poppy dicipta untuk kekal ringkas, fleksibel dan praktikal dari segi kosnya agar ia sentiasa tersedia untuk dipelajari orang ramai.

Mempunyai berat rangka 3.3KG yang boleh dikatakan ringan, Poppy tidaklah seperti yang disangka. Rangkanya yang dicetak menggunakan pencetak 3D, mempunyai keutuhan yang cukup teguh dan mampu bertahan terhadap impak jatuh. Selain itu, ia boleh dioperasikan selama beberapa jam untuk tujuan eksperimen yang panjang.

Masa yang diambil untuk membina Poppy adalah selama dua hari sahaja. Badannya yang mempunyai ketinggian 84CM ini diperbuat daripada bahan poliamida dan boleh dicetak menggunakan apa apa pencetak 3D pun.

Disebabkan perisian PyPot yang digunakan untuk mengoperasikan Poppy bersifat rentas-platform, sama ada Windows, Linux mahupun Mac OSX, maka tidak mustahil robot kecil ini boleh dioperasi menggunakan Raspberry Pi!

Buat masa ini, walaupun sudah dilepaskan sebagai sumber terbuka, ia masih lagi dalam status Beta. Jika anda mahu menyertai projek ini, versi Beta untuk Poppy boleh didapati dengan harga £6400. Ia termasuk dengan senarai komponen, komponen 3D tercetak, arahan memasang dan juga bantuan pelanggan jika diperlukan.

Sungguh mengujakan!

PROJEK POPPY






SUMBER

SENI REKA - 8 Bekas Terbaik Raspberry Pi

Sehingga ke hari ini, Raspberry Pi masih lagi antara sebuah komputer yang terkecil bersaiz kad kredit dan bersifat sumber terbuka yang ada di pasaran. Disokong oleh komunitinya yang aktif, sejak pelancarannya pada bulan Februari 2012, komputer kecil ini terus menerus menjadi pilihan mereka yang gemarkan teknologi dan mahu bereksperimen dengan mereka ciptaan mereka sendiri


Walaupun ia kecil, namun kemampuannya tidaklah boleh dipandang enteng, dipacu oleh ARMv6K 700 MHz (boleh dilebihkan jamnya menjadi 1GHz) dan disokong pula dengan ingatan capaian rawak (RAM) 512MB sudah cukup untuk menjadikan ia pemain video beresolusi 1080i/p yang paling murah di dunia. Selain itu, Raspberry Pi juga boleh dijadikan platform pelayan pemuat turun fail BitTorrent malah ada yang menjadikan ia sebagai unit pemprosesan kapal selam kawalan jauh!

Switched On Tech Design / sotechdesign.com.au

Disebabkan Raspberry Pi tidak didatangkan dengan bekasnya yang tersendiri, ramai ahli komunitinya yang besar itu telah mereka dan mengeluarkan pelbagai jenis bekas yang amat menarik dan di bawah ini adalah antara contoh contoh bekas bekas tersebut.

Di negara kita, Malaysia. Raspberry Pi boleh dibeli di tingkat paling atas Plaza Lowyat. Jika anda tiada kelapangan masa, anda boleh membeli Raspberry Pi secara atas talian melalui Element14.

SWEETBOX

PLYPI

LEGO RASPBERRY PI

OAK

DESIGN CASE

PIHOLDER
PIBOW

Rabu, 30 Oktober 2013

SENI REKA - Roda Pintar FlyKly untuk Basikal Anda

Suatu masa yang lepas, tidaklah begitu lama, musim basikal fixie melanda tanah air kita, hampir salah seorang dari kenalan kita pasti ada yang membeli sebuah basikal fixie untuk kegunaan masing masing. Selain daripada itu, ramai juga diantara kita mempunyai basikal untuk kegunaan rekreasi lasak semasa hujung minggu.

Buat masa sekarang, budaya berbasikal untuk bergerak dari satu destinasi hingga ke destinasi yang lain masih belum menjadi begitu praktikal dalam kalangan masyarakat Malaysia, mungkin disebabkan faktor cuaca yang panas dan kurangnya fasiliti untuk pengguna basikal antara penyebab mengapa kita masih kurang berbasikal.

Ada baiknya jika kita melihat dan mengambil contoh bagaimana negara negara seperti Jepun dan Tanah Besar China menggerakkan rakyatnya untuk lebih banyak menggunakan basikal daripada kenderaan bermotor.



Dalam laman web Kickstarter, satu kumpulan kolektif yang menggelar diri mereka FlyKly telah mereka satu ciptaan inovatif yang memudahkan penggunaan basikal di dalam kawasan bandar. Sejenis roda elektrik pintar ciptaan mereka mampu diintegrasikan kepada basikal sedia ada anda untuk penunggangan yang lebih selesa dan efisien.

FlyKly yang mempunyai visi untuk merubah kebajikan penduduk bandar dari segi aspek pengangkutan lestari ini, mereka roda pintar mereka supaya boleh berkomunikasi dengan peranti mudah alih anda. Sama ada untuk mengunci basikal anda secara auto, mahupun memberitahu anda jika basikal anda dicuri orang.

Walaupun perancangan projek ini diberi masa selama 40 hari untuk mencari sokongan, tetapi tidak sampai separuh daripada masa yang diperuntukkan, projek ini telah pun mengumpul sokongan dana 200% daripada jangkaan mereka!

Jangan terkejut jika tidak lama lagi, anda dapat lihat roda pintar FlyKly ini berada di atas jalan raya di Malaysia. Sungguh menarik!








WEB - IGN Membawakan Muzium Mario!

Walaupun Nintendo telah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Sony dan Microsoft dalam persaingan konsol permainan, namun francais permainan Super Mario Brothers masih lagi boleh dikatakan antara permainan yang palik ikonik pernah dicipta untuk abad ini. Boleh dikatakan hampir semua kanak kanak generasi lewat 80-an dan awal 90-an pernah bermain permainan ini.


Baru baru ini, laman web permainan komputer IGN telah melancarkan satu laman web interaktif berupa Muzium Mario untuk dilayari oleh peminat peminat siri permainan tersebut. Laman web interaktif ini membawakan sejarah perjalanan permainan Super Mario Brothers bermula dari versi 8 bit ke 16 bit, dari 2D ke 3D, dan hinggalah ke arena peranti mudah alih dan konsol.

Dibangunkan oleh Kyle Simpson daripada HTML5hub, laman web ini mengimplimentasikan secara penuh kemampuan skrin sesentuh. Oleh itu, untuk pengalaman yang lebih menarik, cuba anda layari laman web ini dengan tablet anda!

MUZIUM MARIO



















PERISIAN - Jangan Risau Lagi, Instagram akan dilepaskan untuk Windows Phone

Antara faktor yang menyebabkan saya masih teragak agak untuk mencuba Windows Phone secara serius adalah bilangan koleksi aplikasinya yang masih sedikit dan tidak kompetitif jika dibandingkan dengan Android dan iOS.



Namun begitu, belakangan ini, apabila Microsoft sudah pun membeli syer dalam Nokia - secara terperincinya membeli jabatan peranti mudah alih, pasaran Windows Phone telah pun meningkat seperti yang dilaporkan sebelum ini. Selain daripada itu, Nokia juga telah mengumumkan beberapa siri baru tablet Lumia mereka yang dijana oleh Windows RT.

Getty Images/Justin Sullivan


Strategi pemasaran Windows dan Nokia yang sungguh agresif ini dimeriahkan lagi semasa majlis Nokia World pada minggu lepas apabila pihak Nokia telah pun mengumumkan bahawa perisan fotografi sosial terkenal, Instagram akan hadir tidak lama lagi untuk Windows Phone. Membuatkan OS peranti mudah alih yang dipandang rendah ini telah pun cukup syaratnya untuk bersaing secara adil dengan OS yang lain.


Jadi jangan risau lagi! rangkaian rasmi aplikasi sosial wajib kini telah pun dicukupkan dalam Windows Phone - Facebook, Twitter, Foursquare dan Instagram.

SUMBER 1
SUMBER 2

Selasa, 29 Oktober 2013

SENI REKA - Motorola & Phonebloks Umum Telefon Pintar Modular (Dikemas Kini)

Motorola baru sahaja mengumumkan keinginan mereka untuk menjalankan penyelidikan telefon pintar modular, diberi nama Projek Ara. Inisiatif ini akan statuskan sebagai projek sumber terbuka dimana pembangunanya boleh disertai oleh pembangun pembangun di seluruh dunia.

Seperti yang diberitahu Motorola, mereka mahukan satu perkakasan yang yang sama hebatnya seperti apa yang Android miliki sekarang, dengan harapan, suatu ekosistem telefon pintar yang baharu dimana and anda boleh menaiktaraf telefon anda dengan membeli skrin paparan dan cip pemprosesan sendiri.



Motorola akan bekerjasama dengan Phonebloks, yang seperti mana anda ketahui sebelum ini, telah melancarkan konsep telefon pintar modular mereka sendiri. Dengan kapasiti Motorola yang kini dimiliki Google itu, ditambah pula kepakaran mereka dalam bidang teknologi pembuatan, ia akan bekerjasama dengan komuniti Phonebloks dalam proses pembangunan peranti ini kelak.

Motorola kini sedang dalam usaha mencari pembangun pembangun berpotensi untuk membangunkan modul Ara ini. Ia dijangka akan dilepaskan dalam bentuk kit pembangun pada musim sejuk akan datang.

KEMASKINI VIDEO BARU




Jika anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada Projek Ara, anda boleh menyertainya di laman web ini.

PROJEK ARA



SUMBER 1

Isnin, 28 Oktober 2013

SENI REKA - Video Kaedah Pembuatan Mac Pro Baharu. Terperinci.

Seperti kebiasaan produk produk Apple sebelum ini - iPhone, iPad, iPod serta beberapa siri komputer peribadinya, produk produk tersebut telah dipasang di kilang yang terletak di Tanah Besar China, sebelum dieksport ke pasaran dunia.




Namun begitu, apabila Mac Pro yang baharu ini dilancarkan dengan penampilan bentuknya yang begitu unik, ia telah dipasang sendiri di Amerika Syarikat. Segala  proses pemasangan yang begitu teliti, bermula daripada pembentukan bahan mentah sehinggalah kepada bentuk akhirnya telah dimuatkan dalam video ini.

Sepanjang video ini, anda akan dapat dengar penerangan daripada Greg Koenig, pereka bentuk produk daripada Apple yang menerangkan bagaimana proses pembuatan produk ulung mereka ini.

Apa yang menarik, teknologi pembuatan yang diaplikasikan kepada proses pembuatan Mac Pro ini, selalunya hanya boleh dijumpai dalam industri perubatan dan juga industri produk aeroangkasa. Perhatikan betapa tepatnya tangan robotik itu bekerja!



SUMBER 1
SUMBER 2
Hakcipta gambar 2: James Martin/CNET

SENI REKA - Konsep Rekaan iWatch, Betulkah?

Desas desus Apple akan melancarkan jam pintar versinya sendiri masih lagi bertiup kencang, tambahan lagi Samsung baru sahaja mengumumkan Galaxy Gear mereka tempoh hari. Buat masa ini, pasaran jam pintar masih dalam fasa percubaan, dimana rata rata pengguna yang membelinya adalah tergolong dalam kalangan peminat teknologi.


Seperti biasa, ramai yang berharap, Apple akan datang dengan ciptaan jam pintarnya yang tersendiri, dimana, seperti kebiasaan produk produk Apple yang lepas, ia duduk dalam kelasnya tersendiri. Belakangan ini, berita ini semakin diuarkan uarkan di dunia Internet, dah saya 80% yakin, produk ini akan akan datang semasa pehujung 2013 atau pun pertengahan 2014.

Walau bagaimanapun, Thomas Bogner datang dengan inisiatifnya sendiri, dimana dia telah mereka konsep iWatch menurut citarasanya. Konsepnya kelihatan seperti Nike Fuelband, tetapi dengan lebihan ciri iOS.

Walaupun kelihatan agak tidak praktikal dari segi skrin sesentuhnya, tapi apa yang saya boleh katakan, konsep rekaan ini memang menarik dan ringkas! Ia adalah jam pintar seperti yang sepatutnya!


Ahad, 27 Oktober 2013

SENI REKA - Siri Lampu Meja Thanks for The Sun

Untuk projek tahun akhir bagi graduasinya, Arnout Meijer yang menuntut di Akademi Rekaan Eindhoven mereka satu siri lampu meja yang unik yang diberi nama "Thanks for The Sun".

Diinspirasikan daripada sifat cahaya matahari yang boleh ubah mengikut parameter suhu dan waktu, siri lampu ini memimikkan sifat tersebut. Oleh hal yang demikian, lampu ini direka untuk boleh diubah tahap kecerahannya mengikut suhu, waktu dan juga karakter sesuatu ruang itu.



Siri lampu yang sungguh menarik ini, telah dipamerkan kepada khalayak pada Minggu Rekaan Belanda 2013, 19 hingga 27 Oktober 2013 yang lepas.





SENI BINA - Rumah Di Hutan

Terletak di luar Warsaw, Poland, rumah yang dibina jauh dalam kawasan hutan pokok Pine ini, mengaplikasikan pelan lantai yang terbuka untuk ruang tamu, ruang makan, dapur dan juga bilik tidurnya.

Rumah ini, didasarkan atas konsep perumpamaan - sebiji batu yang dilontarkan ke dalam hutan dan terbiar begitu sahaja untuk sekian lama, dibina jauh dari kawasan perumahan sedia ada yang lain.

Selain itu, saiz tingkapnya yang berbeza beza ditambah pula dengan kedudukannya yang begitu rawak sekali menambahkan keunikan rumah ini. Ruang tamunya yang menghadap arah selatan mempunyai pintu kaca gelangsar yang besar memudahkan pengaliran udara ke seluruh kawasan rumah.

Apa yang menarik, disebabkan rumah ini dibentuk dengan bersegi segi, ruang dalamannya juga termasuklah bilik tidur dan dapur direka untuk menggunakan ruang bentuk bersegi segi ini dengan seoptimum mungkin.

HOUSE IN WOOD









SUMBER.

Jumaat, 25 Oktober 2013

PERISIAN - Cover Untuk Android. Pemilih Aplikasi Yang Tepat Pada Masanya

Pencirian Konteks yang digerakkan oleh maklumat masa, cuaca, kedudukan adalah salah satu ciri yang wajib ada dalam peranti pintar mudah alih pasa masa sekarang. Telefon pintar anda, mampu mengetahui dimana kedudukan anda, kemana anda hendak pergi dan dengan siapa anda bersama.

Contoh yang paling ketara yang anda boleh lihat berkenaan dengan perincian ini adalah seperti Google Now, Siri, Instagram dan juga Waze. Disaat anda membuka aplikasi tadi, ia akan segera menggunakan maklumat maklumat di atas untuk membuat capaian kepada arahan yang anda berikan.



Hari ini, Cover dilepaskan. Ia adalah hasil tangan bekas bekas jurutera daripada Facebook, Yahoo dan juga Google. Aplikasi yang menarik ini, akan menggantikan skrin kuncian asal Android kepada sesuatu yang lebih interaktif kerana, ia akan memaparkan ikon kekunci pintas kepada aplikasi aplikasi kegemaran anda.

Apa yang mengagumkan, ikon kekunci pintas tersebut akan bertukar tukar mengikut lokasi anda dan juga waktu. Seperti contoh, katakan anda sedang memandu, ikon kekunci pintas Waze akan muncul, manakala jika katakan anda sedang berada di pejabat, ikon kekunci pintas seperti Gmail, Dropbox dan juga Evernote pula akan muncul.

Aplikasi ini akan belajar dengan sendirinya mengikut rekod penggunaan aplikasi anda saban hari, dan mejelang hari hari yang berikutnya, aplikasi ini akan memaparkan ikon kekunci pintas yang lebih tepat. Dengan hanya melayangkan jari anda, anda dapat membuka aplikasi pilihan.

Aplikasi ini masih belum berada di Google Play buat masa ini. Nantikan kemaskini daripada Rekareka.

Hebat bukan?

COVER




SUMBER

SENI REKA - Goji. Sistem Kunci Pintar Untuk Rumah Anda


Terdapat pelbagai sistem kunci pintu pintar dalam pasaran buat masa ini. Sistem konvensional yang menggunakan mangga dan daun kunci sebelum ini menjadi pilihan, sudah pun perlahan lahan ditukarkan kepada sistem yang lebih pintar dan bersepadu. Mungkin masih kurang penggunaannya di rumah rumah, tetapi jika anda lihat, kebanyakkan pejabat sudah mula menggunakan sistem ini.

Sama ada mekanisme kuncinya dipandu oleh cap jari biometrik, kad elektromagnet ataupun nombor kod, sistem kunci ini mempunyai tujuan yang sama.

Penginovasian sistem kunci pintar maju kehadapan lagi, apabila Goji, idea kreatif yang dicetuskan di San Fransisco, Amerika Syarikat ini memperkenalkan sistem kunci pintar yang boleh disepadukan dengan peranti iOS.

Sistem kunci pintar yang direka dengan teliti ini, membolehkan anda menerima laporan berupa teks pesanan ringkas, emel dan gambar individu yang mengakses pintu anda dalam rangka waktu masa nyata.

Idea untuk merealisasikan Goji ini telah berjaya dibiaya oleh komuniti Indiegogo pada bulan Ogos lepas.






INFOGRAFIK - Penanda Garis Masa Android Sepanjang 5 Tahun

Sukar untuk dipercayai walau dengan hanya 5 tahun, Android telah berjaya memecahkan norma kebiasaan pengguna telefon bimbit yang sebelum ini menggunakan faktor bentuk bar kepada faktor bentuk skrin sesentuh.

Sehingga ke hari ini, peranti yang menggunakan Android sebagai sistem operasinya telah pun diaktifkan sebanyak 1 bilion peranti serata dunia. Hebat bukan?

Di bawah ini, ada satu infografik menarik berkenaan peristiwa peristiwa utama perjalanan Android sebagai sistem operasi telefon pintar yang paling popular!


SUMBER

REKA SEMULA - Konsep Antaramuka Pengguna Android 5.0

Dikhabarkan menjelang pertengahan 2014, Android 5.0 akan dilepaskan bagi menyambung kesinambungan sistem operasi tersebut yang sebelum ini mengumumkan nama bagi Android 4.4 sebagai KitKat.

Menurut laman web Android Central, pada bulan Februari 2013 yang lepas, Google diketahui sedang mengusahakan Kernel Linux 3.8, dan ini memberi sedikit bayangan bahawa Android 5.0 akan dikuasakan dengan Kernel tersebut. Selain daripada itu, ciri Kernel 3.8 ini yang dikatakan hanya mengguna ingatan capaian rawak (ICR) atau RAM yang rendah membolehkan peranti Android 5.0 akan datang beroperasi dengan lebih baik dari segi kepantasan dan penggunaan bateri yang efisien.

Menyedari kedatangan Android 5.0 tidak lama lagi, satu komuniti pereka grafik dari Budapest, Hungary yang menggelarkan diri mereka Codebuild telah mereka konsep antaramuka pengguna bagi Android 5.0 menurut interpretasi mereka.

Seperti biasa, rekaan yang ringkas, minimal dan rata menjadi pilihan mereka untuk konsep kali ini. Oh ya, sekali pandang, semacam diinspirasikan daripada iOS 7 pula.




Rabu, 23 Oktober 2013

SENI REKA - Kit Hidroponik Mampan Untuk Rumah Anda

Hidroponik atau akuaponik adalah satu sistem tanaman yang tidak menggunakan tanah sebagai medium penghantaran nutrien kepada tumbuhan, tetapi ia sebaliknya menggunakan air sebagai medium.

Sekitar tahun 1998 - 2000, terdapat satu musim dimana ramai rakyat Malaysia menceburkan diri dalam bidang ini. Sama ada dalam skala yang kecil ataupun yang lebih besar. Saya juga yang ketika itu baru dalam darjah dua tidak ketinggalan mencuba sistem hidroponik ini.

Jauh di bandar California, dua sekawan yang sangat kreatif bernama Nikhil dan Alejandro ini, telah mereka satu sistem hidroponik mampan yang moden dan ringkas. Sistem ini menggunakan konsep kitaran semula jadi yang sebenarnya memang berlaku disekeliling kita.

Dengan rekaan alatan yang begitu minimal, ditambah pula dengan kemasan yang begitu teliti, idea untuk memulakan projek ini telah disahut oleh komuniti Kickstarter dan orang awam sehinggakan, kutipannya mencecah lebih 200% daripada sasaran asal!

Idea projek ini yang dicetuskan ketika tahun akhir di universiti akhirnya menjadi satu projek besar yang didokong visinya oleh orang ramai.

Hebat bukan?

HOME AQUAPONICS KIT








Lihat juga AQUALIBRIUM!

|